Inflasi di Sarawak dijangka terkawal antara 1.5% hingga 2% tahun ini, sidang DUN diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi di Sarawak dijangka terkawal antara 1.5% hingga 2% tahun ini, sidang DUN diberitahu

Kompleks DUN Sarawak - Gambar ihsan FAITULLAHMORNI/TVS
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 21 Mei - Sarawak merekodkan kadar inflasi sebanyak 1.1% pada suku pertama 2026, dengan inflasi dijangka kekal terkawal antara 1.5% hingga 2.0% bagi keseluruhan tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas.

 

Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu negeri berkata, inflasi Sarawak turut menyederhana kepada 0.9% pada 2025 berikutan harga yang relatif stabil serta tekanan kos yang semakin reda.

 

Katanya, penyusutan inflasi itu didorong terutamanya oleh kestabilan harga makanan dan minuman, kos pengangkutan yang lebih terkawal serta deflasi berterusan dalam kategori maklumat dan komunikasi susulan penurunan harga perkhidmatan jalur lebar dan peranti digital.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, langkah sokongan fiskal bersasar seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Budi Madani RON95 (BUDI95), Program Komputer Riba Percuma, Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak serta Skim Bantuan Sewa Sarawak (SRAS) turut membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan menampan kesan inflasi terhadap isi rumah.

 

“Inflasi dijangka kekal terkawal dalam julat 1.5% hingga 2.0% pada 2026, walaupun tekanan inflasi mungkin meningkat secara beransur-ansur susulan perubahan keadaan harga tenaga dan komoditi global,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.

 

Ekonomi Berkembang 5%-6%

Mengenai prestasi ekonomi keseluruhan, Uggah berkata ekonomi Sarawak dijangka berkembang antara 5.0% hingga 6.0% pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta aktiviti pelaburan berterusan.

 

“Namun begitu, prospek itu masih terdedah kepada risiko penurunan berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat serta keadaan permintaan luaran yang lebih perlahan,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata ketibaan pelawat pada suku pertama 2026 meningkat 4.5% kepada 1.2 juta orang berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurutnya, kesinambungan hubungan penerbangan antarabangsa dijangka terus menyokong aktiviti berkaitan pelancongan serta mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas kepada sektor hospitaliti, peruncitan, pengangkutan dan industri berkaitan pengguna lain.

 

Sementara itu, Uggah berkata aktiviti perdagangan pada suku pertama 2026 kekal perlahan susulan ketidaktentuan global yang meningkat, dengan eksport dan import masing-masing merosot 8.1% dan 9.2% berbanding tempoh sama 2025.

 

 

 

 

 

 

Di sebalik ketidaktentuan luaran, katanya, Sarawak berjaya memperoleh pelaburan pembuatan diluluskan berjumlah RM5.9 bilion, khususnya dalam segmen nilai tambah tinggi seperti kimia serta elektrik dan elektronik (E&E).

 

Beliau berkata, kira-kira RM15.3 bilion perbelanjaan pembangunan telah diluluskan bagi 2026 untuk melaksanakan projek infrastruktur dan program sosioekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). - DagangNews.com