KUALA LUMPUR 23 Jan – Prospek ekonomi Malaysia menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan pada November 2025, apabila Indeks Pelopor (IP) yang menjadi petunjuk awal arah tuju dan titik perubahan kitaran perniagaan, mencatatkan 0.2% kepada 113.2 mata, berbanding 113.0 mata pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IP tersebut didorong terutamanya oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, yang menyumbang 67.5%, selain penawaran wang benar atau M1 yang kekal stabil dengan sumbangan 5.5%.
“Secara keseluruhan, prestasi ini menunjukkan aktiviti domestik terus menjadi sokongan utama kepada momentum ekonomi negara, walaupun terdapat tanda-tanda penyederhanaan,” katanya dalam satu kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Namun, dari segi perbandingan bulan ke bulan, IP mencatatkan penyusutan 2.4%, dipengaruhi oleh penurunan import benar semikonduktor sebanyak -0.9% serta import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain yang susut -0.7%.
DOSM turut memaklumkan trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada November 2025 berada di bawah paras 100.0 mata.
Menurut jabatan itu, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dalam tempoh terdekat, namun pada kadar yang lebih sederhana, dengan permintaan domestik kekal sebagai tulang belakang pertumbuhan.
“Bagaimanapun, ketidakpastian luaran berpotensi meningkatkan risiko penurunan yang boleh menjejaskan prospek ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa, meningkat kepada 129.3 mata dengan pertumbuhan tahunan 2.1%, menandakan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.
Pertumbuhan IS tersebut disokong oleh prestasi kukuh semua komponen selama 10 bulan berturut-turut, dengan nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 0.8% sebagai penyumbang utama.
Bagaimanapun, secara perbandingan bulanan, IS menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 0.5%, disebabkan pergerakan sederhana beberapa komponen utama, khususnya Indeks Pengeluaran Perindustrian dan nilai caruman benar KWSP, yang masing-masing mencatatkan penurunan 0.2%. - DagangNews.com








