KUALA LUMPUR 2 Ogos - Inari Amertron Bhd bekerjasama dengan Sanan Optoelectronics Co Ltd dari China untuk mengambil alih keseluruhan pegangan dalam Lumileds Holding B.V. dan anak-anak syarikatnya pada nilai perusahaan berjumlah AS$239 juta (RM1.03 bilion), menandakan langkah strategik ke dalam pasaran global diod pemancar cahaya (LED).
Pengambilalihan ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara tunai melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang diperbadankan di Hong Kong, dimiliki bersama oleh Sanan (74.5%) dan Inari (25.5%). SPV ini akan memiliki 100% kepentingan dalam Lumileds Holding dan 11 anak syarikatnya di Asia dan Eropah (Lumileds International).
Sebagai tambahan kepada harga pembelian, kedua-dua pihak juga akan menyuntik modal kerja sebanyak AS$41 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai AS$280 juta.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, pelaburan Inari berjumlah AS$71.4 juta dan akan dibiayai melalui baki hasil daripada pelaksanaan penempatan saham swasta yang selesai pada Julai 2021.
Sanan, yang ditubuhkan pada November 2000, merupakan pengeluar cip LED berteknologi tinggi dari China dan disenaraikan di Bursa Saham Shanghai. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), syarikat itu mencatat hasil tahunan sebanyak 16.1 bilion yuan (RM9.6 bilion).

Lumileds International yang berpangkalan di Amsterdam pula merupakan pengeluar produk LED sederhana hingga berteknologi tinggi bagi pasaran pencahayaan automotif, denyar kamera, serta pencahayaan khas.
Bagi FY2024, Lumileds International mencatatkan kerugian bersih sebanyak AS$67 juta dengan hasil pendapatan mencecah AS$589 juta. Manakala bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, syarikat tersebut merekodkan kerugian bersih AS$17 juta dengan hasil sebanyak AS$141 juta.

Pengambilalihan ini dijangka dapat mengembangkan lagi portfolio produk sedia ada Inari serta mengukuhkan model perniagaan tertutup (captive business model) syarikat.
“Kecekapan operasi Lumileds International dijangka meningkat dengan ketara menerusi penglibatan aktif Inari sebagai pemegang saham dan pihak pengurusan, memandangkan keseluruhan operasi pemasangan bahagian belakang (back-end assembly) Lumileds terletak di Pulau Pinang yang melibatkan lebih daripada 2,500 pekerja.
"Inari dan Malaysia dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan berterusan operasi tempatan ini, sekali gus memperkukuh ekosistem elektrik dan elektronik negara,” kata Inari dalam kenyataan tersebut.
Tiada liabiliti yang akan ditanggung oleh Inari dalam urus niaga ini yang dijangka selesai pada suku ketiga tahun kewangan Inari berakhir 31 Mac 2026.
Pengambilalihan bersama ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Inari, kecuali kelulusan daripada Bank Negara Malaysia bagi tujuan pemindahan dana pelaburan ke luar negara.
Selain itu, pengambilalihan ini turut memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia asing yang berkaitan serta pemegang saham Sanan.
Sehingga akhir Mac, tunai dan setara tunai Inari berjumlah RM2.14 bilion dan syarikat tidak mempunyai sebarang pinjaman tertunggak.
Pada penutupan dagangan hari Jumaat, harga saham Inari naik dua sen atau 0.95% kepada RM2.13, memberikan kumpulan itu modal pasaran sebanyak RM8.07 bilion. Namun begitu, harga sahamnya telah merosot sebanyak 44% sepanjang tempoh setahun yang lalu. - DagangNews.com








