IIGC 2025 serlah potensi pelaburan teknologi Industri Air Bawah Tanah di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IIGC 2025 serlah potensi pelaburan teknologi Industri Air Bawah Tanah di Malaysia

Oleh Muhammad Iman

BANGI 13 Sept – Persidangan International Groundwater Conference (IIGC 2025) yang berlangsung pada 10 hingga 11 September di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, telah berjaya menghimpunkan pakar air bawah tanah antarabangsa, akademia dan pemain industri tempatan, sekali gus membuka prospek pelaburan besar kepada sektor perniagaan berkaitan pengurusan sumber air bawah tanah.

 

Dengan tema “Groundwater: For a Resilient Malaysia”, persidangan ini menekankan kepentingan pengurusan sumber air bawah tanah yang mampan sebagai asas keselamatan air negara serta keupayaan menghadapi cabaran perubahan iklim.

 

Acara tersebut dianjurkan oleh Institut Geologi Malaysia (IGM) dan GeoWater Sdn Bhd (GWSB) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM, serta mendapat sokongan agensi kerajaan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Lembaga Ahli Geologi Malaysia (BoG) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

 

Turut serta ialah organisasi antarabangsa seperti International Groundwater Resources Assessment Centre (IGRAC) Belanda, International Association of Hydrogeologists (IAH) United Kingdom, Queensland University of Technology (QUT) Australia, DELTARES Belanda, serta Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia.


 

parafrasa

 

UKM

 

UKM

 


 

Menurut kenyataan rasmi penganjur, kejayaan penganjuran sulung IIGC 2025 membuktikan peranan Malaysia sebagai hab serantau dalam bidang hidrogeologi. Berikutan sambutan yang menggalakkan, persidangan ini akan diteruskan sebagai acara dwitahunan bagi memperkukuh jaringan global dan meningkatkan kepakaran tempatan.

 

Persidangan dimulakan dengan ucapan aluan Presiden IGM, P.Geol Adam Hashim, diikuti ucaptama oleh Timbalan Presiden IAH, Julian Conrad.

 

Majlis penutup disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UKM, yang menegaskan bahawa air bawah tanah berpotensi menjadi pemacu utama negara dalam mendepani cabaran perubahan iklim global.

 

Selain sesi pembentangan utama, bengkel pra-persidangan turut diadakan dengan memberi tumpuan kepada teknologi terkini dan kaedah baharu dalam pengurusan sumber air bawah tanah.

 

Bengkel tersebut membuka ruang kepada pelajar, penyelidik serta pengamal industri untuk mendalami ilmu secara langsung daripada pakar antarabangsa.

 

Air Bawah Tanah di Malaysia

Mengikut data Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sumber air bawah tanah di Malaysia dianggarkan berjumlah lebih 5,000 bilion meter padu, dengan potensi boleh guna sekitar 72 bilion meter padu setahun. Namun, hanya 3% hingga 5% sahaja digunakan setakat ini, terutama di kawasan luar bandar, industri kecil serta kawasan yang kurang liputan bekalan air paip.

 

Air bawah tanah menjadi sumber penting ketika krisis bekalan air permukaan akibat kemarau, pencemaran sungai atau peningkatan permintaan mendadak. Beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah telah lama bergantung pada air bawah tanah sebagai sebahagian daripada sistem bekalan.

 

Walaupun berpotensi besar, pengurusan hidrogeologi negara berdepan cabaran seperti risiko pencemaran akibat aktiviti perindustrian, pertanian, serta pembangunan bandar pesat. Kekurangan data terperinci dan pemantauan sistematik turut menjejaskan usaha mengoptimumkan penggunaannya secara mampan.

 

Dengan penganjuran edisi pertama ini, IIGC dijangka berkembang sebagai platform penting dalam merangka dasar berkaitan air bawah tanah, memperkukuh jaringan profesional industri, serta meningkatkan daya tahan negara terhadap risiko krisis air pada masa hadapan. - DagangNews.com