IHH Healthcare berpotensi kukuh kedudukan di pasaran India, sasaran harga saham dinaikkan kepada RM9 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IHH Healthcare berpotensi kukuh kedudukan di pasaran India, sasaran harga saham dinaikkan kepada RM9 - penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Okt – IHH Healthcare Bhd berpotensi mengukuhkan kedudukannya di pasaran penjagaan kesihatan India susulan kelulusan penting yang diperoleh daripada Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI) bagi meneruskan tawaran terbuka mandatori ke atas Fortis Healthcare Ltd dan Fortis Malar Hospitals Ltd, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah tersebut sekali gus mengakhiri ketidaktentuan kawal selia selama tujuh tahun, yang sebelum ini menghalang usaha IHH untuk memperluas kawalan strategiknya di pasaran India sejak tahun 2018.

 

Susulan perkembangan ini, RHB Research menaikkan sasaran harga saham IHH kepada RM9 daripada RM8 sebelum ini, menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 11%, di samping hasil dividen sekitar 1%.

 

Menurut RHB, IHH kini memiliki kira-kira 31% saham dalam Fortis menerusi menerusi anak syarikat milik penuh, Northern TK Venture (NTK) dan sekiranya tawaran terbuka diterima sepenuhnya, pegangan tersebut akan meningkat kepada sekitar 57%, memberi kawalan majoriti kepada syarikat.

 

Bergantung kepada harga pengambilalihan dan kadar penerimaan tawaran, jumlah pembiayaan yang diperlukan boleh mencecah sehingga INR251.5 bilion (bersamaan RM11.9 bilion), berdasarkan anggaran premium 30% ke atas harga pasaran semasa Fortis.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan IHH akan membiayai tawaran ini melalui kemudahan pinjaman, yang berpotensi meningkatkan nisbah hutang bersih FY2026F kepada 0.55x, sekiranya keseluruhan amaun ditarik sepenuhnya.

 

Bagaimanapun di sebalik perkembangan positif itu, firma penyelidikan CIMB Securities memberikan amaran pengambilalihan mandatori (MTO) oleh IHH ke atas Fortis itu mungkin sukar direalisasikan susulan harga saham Fortis kini jauh melebihi paras tawaran.

 

CIMB Securities berkata, prospek kejayaan MTO ini agak suram berdasarkan faktor pasaran semasa.

 

“Pada pandangan kami, pengambilalihan ini berkemungkinan besar tidak akan berjaya, memandangkan harga saham semasa Fortis mencecah INR980 sesaham, jauh lebih tinggi berbanding harga tawaran INR170 sesaham yang dicadangkan pada 2018,” kata firma penyelidikan itu dalam nota yang dikeluarkan hari ini.

 

Dengan jurang harga pasaran yang begitu besar, pelabur sedia ada dijangka tidak akan menerima tawaran tersebut, menjadikan kebarangkalian kejayaan MTO amat rendah.

 

CIMB Securities turut menjelaskan kegagalan tawaran ini tidak akan memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan IHH dalam jangka pendek.

 

“Oleh itu, kami tidak menjangka perkembangan ini akan memberikan impak material kepada pendapatan IHH,” katanya.

 

Walaupun berpendapat MTO ke atas Fortis berkemungkinan besar tidak berjaya, CIMB Securities tetap mengekalkan pandangan positif terhadap IHH serta mengumumkan kenaikan sasaran harga saham syarikat itu kepada RM9.00, daripada RM8.50 sebelum ini.

 

Semakan sasaran harga dibuat selepas mengemas kini penilaian "sum-of-the-parts" (SOP) bagi mengambil kira permodalan pasaran terkini anak syarikat IHH yang tersenarai.

 

Selain itu, CIMB Securities turut menyemak semula unjuran keuntungan bersih teras (core net profit) IHH bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 (FY25–FY27) dinaikkan sebanyak 1% bagi FY2025 dan FY2026, manakalan FY2027 dinaikkan sebanyak 2%.

 

Pelarasan ini dibuat hasil daripada penyusunan semula akaun kecil (minor housekeeping adjustments) tanpa perubahan asas kepada prospek operasi syarikat.

 

Firma penyelidikan itu juga terus menyukai IHH kerana aset serantau yang pelbagai, rekod pelaksanaan strategi yang terbukti cemerlang, kedudukan kukuh dalam pasaran premium, serta pendedahan kepada pelanggan berpendapatan tinggi, yang menyokong ketahanan pendapatan syarikat walaupun dalam persekitaran ekonomi mencabar. - DagangNews.com