KUALA LUMPUR 15 Okt - Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara apabila kedua-duanya menyumbang 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM451.3 bilion pada tahun 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi keseluruhan ICT dan e-dagang mencatat pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024, meningkat daripada 3.5 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Beliau menjelaskan, pertumbuhan sektor ICT didorong oleh industri pembuatan ICT, yang melonjak kepada 7.4 peratus berbanding 2.4 peratus pada 2023, diikuti oleh industri perkhidmatan ICT (3.3%) dan industri perdagangan ICT (4.6%).
Menurut laporan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, nilai aktiviti e-dagang mencapai RM258.2 bilion, dengan pertumbuhan 4.7 peratus, meningkat daripada 3.0 peratus pada 2023.
Pertumbuhan e-dagang disokong oleh sektor pembuatan yang meningkat 4.8 peratus (2023: 0.1%), diikuti sektor perkhidmatan yang berkembang 4.9 peratus (2023: 7.8%) dan sektor pertanian yang melonjak 7.5 peratus selepas mencatat penyusutan 2.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Dari sudut perdagangan antarabangsa, eksport produk ICT meningkat 4.4 peratus kepada RM449.7 bilion pada 2024 berbanding penurunan 5.2 peratus pada 2023. Bagaimanapun, import produk ICT melonjak 22.2 peratus, berbanding penurunan 14.0 peratus pada tahun sebelumnya.
“Lebihan eksport bersih produk ICT mencatat RM119.8 bilion pada 2024, berbanding RM160.7 bilion pada 2023,” kata Dr. Uzir.
Sementara itu, sektor pekerjaan ICT menyumbang 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia, bersamaan 1.25 juta orang pada 2024. Kadar pertumbuhan pekerjaan ICT meningkat 1.2 peratus, sedikit rendah berbanding 1.6 peratus pada 2023.
Sebahagian besar pekerjaan ICT tertumpu dalam industri pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan ICT, yang secara kolektif merangkumi 87.4 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja sektor tersebut.
Prestasi ini mencerminkan peranan penting ICT dan e-dagang dalam memperkukuh ekonomi digital negara, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab ekonomi digital serantau menjelang 2030. - DagangNews.com








