KUALA LUMPUR 23 Jan - Kumpulan pengurusan dana tertutup tunggal tersenarai, icapital.biz Berhad (ICAP) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM338,000 bagi suku kedua yang berakhir 30 November 2025.
Prestasi ini lemah berbanding keuntungan bersih RM167,000 yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya, dengan faktor utama penurunan disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi.
Pendapatan syarikat yang diperbadankan pada 2004 itu bagi suku tersebut turut menyusut kepada RM3.21 juta berbanding sebanyak RM3.34 juta pada tempoh tiga bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Perbelanjaan operasi kumpulan ini pula didapati melonjak kepada kira-kira RM3.43 juta daripada hanya RM3.03 juta yang dicatatkan sebelumnya," kata ICAP dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 November 2025, syarikat tersebut katanya, masih berupaya lagi untuk mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM395,000.
Jumlah berkenaan namun jelasnya, menunjukkan penurunan ketara berbanding RM690,000 bagi tempoh yang sama tahun lalu, manakala nilai aset bersih (NAV) pula berjumlah RM537.58 juta, susut 4.03%.
Sementara itu tambah ICAP lagi, NAV sesaham menurun kepada RM3.81 berbanding RM4.00 pada tahun sebelumnya, dan dividen interim sebanyak RM0.1354 sesaham sudah dibayar pada 30 Oktober 2025.
"Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM19.10 juta, dengan kejatuhan NAV dipengaruhi oleh penurunan dalam perubahan nilai saksama bersih pelaburan dan pembayaran dividen interim tersebut," katanya.
Menyentuh mengenai prospek, Pengurus Dana ICAP menyatakan keyakinan bersandarkan ekonomi Malaysia kekal memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.9% bagi 2025.
Walaupun persekitaran global berdepan ketidaktentuan tinggi susulan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat (AS), pasaran saham Kuala Lumpur dijangka kekal berprestasi baik.
ICAP yang disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2005 itu katanya, masih memegang banyak portfolio pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk produk industri, teknologi, dan barangan pengguna,
"Pelaburan paling besar kami turut merangkumi sejumlah syarikat terkenal seperti Kelington Group Berhad dan SAM Engineering & Equipment (M) Berhad," katanya. - DagangNews.com








