KUALA LUMPUR 22 Jan - Kerajaan berjaya mengurangkan nisbah bayaran khidmat hutang (DSC Malaysia 2025) secara signifikan daripada 12.3% pada 2023 kepada 6.4% pada 2025, hasil daripada pengurusan hutang Kerajaan Malaysia yang berhemah dan reformasi fiskal berterusan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Menurutnya, langkah tersebut menyusuli peningkatan DSC kepada 16% pada akhir 2025 berbanding 12.5% pada 2019, yang disebabkan oleh lonjakan hutang Kerajaan Malaysia antara 2020 hingga 2022 bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan akibat pandemik COVID-19.
Dalam tempoh tersebut ujar beliau, hutang Kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM286.6 bilion, atau lebih 36% daripada RM793 bilion pada 2019, menjadikan nisbah hutang terhadap KDNK meningkat daripada 52.4% kepada 60.2% pada 2022.
Sebagai kerajaan yang berhemah, langkah pengurusan fiskal dan hutang Kerajaan Malaysia ini dijalankan berlandaskan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Akta 850) atau FRA.
"Usaha konsolidasi fiskal dan pengurangan pinjaman tahunan Malaysia menunjukkan hasil positif, dengan pinjaman tahunan berjaya dikurangkan daripada RM100 bilion pada 2021–2022 kepada RM92 bilion pada 2023, RM77 bilion pada 2024 dan diunjurkan sekitar RM75 bilion pada 2025, mencerminkan keberhasilan disiplin kewangan kerajaan.
“Reformasi fiskal dan pengurusan hutang Kerajaan Malaysia yang berhemah ini bukan sahaja mengurangkan beban bayaran khidmat hutang, tetapi juga memastikan defisit fiskal dapat dikawal untuk kelestarian kewangan negara,” kata Liew di Parlimen hari ini.
Menurutnya, langkah-langkah berterusan ini dijangka akan membolehkan kerajaan mengekalkan kestabilan fiskal, mengurangkan hutang Kerajaan Malaysia secara berperingkat dan memastikan pembayaran hutang negara berada pada tahap mampan untuk tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan strategi kerajaan bagi menangani bayaran khidmat hutang yang dijangka mengambil 16.3% daripada jumlah hasil kerajaan pada tahun 2025, serta langkah-langkah penstrukturan semula hutang Kerajaan Malaysia bagi mengurangkan beban ini dalam jangka sederhana dan panjang.
Liew berkata, beberapa strategi fiskal yang berterusan dilaksanakan bagi memastikan kestabilan kewangan dan pengurusan hutang Kerajaan Malaysia, antaranya:
a. Meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur;
b. Memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan, antaranya melalui peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pelaksanaan e-invois;
c. Mengoptimumkan perbelanjaan awam, antaranya menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan RON95 serta langkah rasionalisasi badan berkanun;
d. Pinjaman kerajaan hanya untuk membiayai projek dan program di bawah DE yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka panjang;
e. Menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25% daripada KDNK melalui Akta 850 supaya pendedahan kerajaan kepada jaminan kewangan sentiasa terkawal berdasarkan keupayaan kewangan dan ekonomi semasa;
f. Mengutamakan projek berorientasikan user-pay melalui Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030); dan
g. Menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara off-budget.
Di samping itu tambah beliau, pengurusan fiskal bertanggungjawab yang disokong dengan pengurusan ekonomi pragmatik akan dapat memacu perkembangan aktiviti ekonomi, pelaburan swasta dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan. - DagangNews.com








