KUALA LUMPUR 30 Jan - Hubline Berhad mencatatkan kerugian bersih RM23.03 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, berbanding keuntungan bersih RM3.59 juta yang dicapai sebelumnya.
Kumpulan penyedia logistik di Sarawak itu berkata, prestasi lemah ini sebahagian besar dipengaruhi oleh faktor pelarasan susut nilai yang bukan tunai secara sekali sahaja mencecah jumlah RM10.65 juta.
Selain itu, bagi tahun kewangan yang dilaporkan, pendapatan kumpulan berkenaan turut mencatatkan penurunan kepada RM168.80 juta berbanding kira-kira RM208.58 juta pada tempoh yang sama FY24.
"Kemerosotan ini berpunca antaranya daripada segmen perkapalan apabila hasil jatuh RM32.95 juta kepada RM103.35 juta, akibat kesan pertukaran mata wang asing," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Tambah Hubline, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak kira-kira 6% ternyata memberi impak yang negatif kepada penukaran pendapatan tambang kumpulan tersebut.
Pendapatan segmen penerbangan turut turun kepada RM65.15 juta berbanding RM71.99 juta pada tahun sebelumnya, terutama akibat penamatan beberapa program latihan kadet di akademi penerbangan.
Walaupun mencatatkan kerugian bersih, ia melaporkan keuntungan operasi kasar yang stabil sebanyak RM21.40 juta, namun 'pendapatan lain' kumpulan menyusut kepada RM4.81 juta daripada RM18.13 juta.
"Situasi keuntungan rendah itu disebabkan pelupusan aset tetap berbanding tahun kewangan 2024, kos kewangan kumpulan juga meningkat kepada RM7.43 juta selaras peningkatan profil kredit," katanya.
Melangkah ke FY26, Hubline akan meneruskan program pembaharuan kapal bagi meningkatkan kecekapan kos dan mengurangkan pelepasan karbon, serta meneruskan penambahbaikan keperluan modal kerja.
Syarikat jelas kenyataan itu, turut merancang untuk meneroka laluan alternatif di rantau ASEAN termasuk Kemboja, Filipina, dan Thailand bagi mengukuhkan lagi kedudukan pasaran logistik maritimnya.
Bagi segmen penerbangan jelasnya, tumpuan akan diberikan kepada perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter serta peningkatan penggunaan aset. - DagangNews.com








