HSS Engineers peroleh kontrak pengurusan projek pusat data di Bagan Datuk bernilai RM22 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers peroleh kontrak pengurusan projek pusat data di Bagan Datuk bernilai RM22 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 JanHSS Engineers Berhad (HEB) memperoleh kontrak sebagai Perunding Pengurusan Projek (PMC) bagi pembangunan pusat data (DC) berkapasiti 10 MW di Bagan Datuk, Perak.


Tender terbaharu berkenaan diterima menerusi syarikat sekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), secara rasmi pada 22 Januari 2026 dengan nilai perkhidmatan tersebut dianggarkan mencecah RM22 juta.


Ia melibatkan perkhidmatan pengurusan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi Fasa 1 melibatkan DC Facility F1, yang diserahkan oleh Silver Streams Technofarm Sdn Bhd.


"Projek tersebut bermula pada Disember 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2027, dengan skop perkhidmatan merangkumi pengurusan projek menyeluruh," maklum HEB kepada Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 


Kerja-kerja berkenaan jelas kumpulan itu, termasuk dari segi pengurusan reka bentuk, jadual dan kos, aspek pentadbiran kontrak, penyeliaan pembinaan serta perkhidmatan kawalan dan jaminan mutu.


Seiring perjanjian kerjasama secara eksklusif tersebut, HSSI katanya, akan bertindak melaksanakan perkhidmatan berkenaan bersama anak syarikat milik penuh HEB sendiri, HSS Engineering Sdn Bhd.


Perkhidmatan ini dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan serta aset bersih kumpulan tersebut bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026 dan 31 Disember 2027.


"HEB turut memaklumkan bahawa projek tersebut dibiayai melalui dana dalaman dan/atau pinjaman luar, selain tidak memberi kesan kepada struktur modal serta pegangan saham syarikat," katanya.

 

 

 

 

 


Lembaga pengarah menegaskan yang pelantikan berkenaan adalah dalam urusan biasa perniagaan dan tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa yang berkaitan.


Selain itu, tiada kepentingan langsung atau tidak langsung mana-mana pengarah serta pemegang saham utama HEB sendiri terlibat dalam projek pengurusan DC tersebut. - DagangNews.com