HPP Holdings kembali catat untung bersih RM1.63 juta bagi 2QFY26, didorong permintaan kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HPP Holdings kembali catat untung bersih RM1.63 juta bagi 2QFY26, didorong permintaan kukuh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Jan - HPP Holdings Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih RM1.63 juta bagi suku kedua berakhir 30 November 2025, berbanding kerugian bersih RM0.53 juta bagi 2QFY25.


Menurut kumpulan itu, punca utama pusingan balik prestasi kewangan ini disebabkan oleh pemintaan kukuh menjana peningkatan hasil serta kecekapan kos operasi yang lebih baik dalam tempoh tersebut.


Syarikat berkenaan jelasnya, merekodkan peningkatan hasil sebanyak 10.0% kepada RM16.51 juta pada tiga bulan tersebut berbanding hanya kira-kira RM15.01 juta pada suku yang sama tahun lalu.


"Secara kumulatif bagi tempoh enam bulan berkenaan, hasil HPP Holdings meningkat kepada sebanyak RM33.57 juta daripada RM31.66 juta," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Pertumbuhan pesat ini tambahnya, dipacu oleh permintaan yang kuat dalam sektor kontraseptif atau produk sarung, perkakas rumah bukan elektrik, serta barangan industri makanan dan minuman (F&B).


Prestasi positif ini jelas kumpulan tersebut, berjaya menampung kelemahan yang dicatatkan dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) serta farmaseutikal sepanjang tempoh tinjauan 1HFY26.


Margin keuntungan kasar melonjak ketara kepada 27.17% berbanding hanya 11.39% pada tahun lalu, dengan didorong oleh kadar pengeluaran yang lebih tinggi dan membawa kepada kecekapan operasi.


"Selain itu, campuran produk yang lebih menguntungkan, terutamanya daripada segmen pembungkusan acuan pulpa kertas turut menyumbang kepada perkembangan menggalakkan syarikat," kata HPP Holdings.


Jelasnya, jualan pembungkusan berasaskan kertas kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, walaupun segmen percetakan pembungkusan yang bukan berombak pula mengalami sedikit penurunan.


Kumpulan itu kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek jangka panjangnya meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global, dan bercadang untuk terus mempelbagaikan aliran pendapatan.


Usaha ini tambah HPP Holdings, dirancang melalui pengembangan ke segmen pasaran bersebelahan serta memperkukuhkan keupayaan jualan di wilayah Tengah dan Selatan Semenanjung Malaysia. 


"Kami sedang meneroka peluang dalam automasi, integrasi sistem, dan teknologi percetakan canggih bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran, ketepatan cetakan, dan mengoptimumkan kos," katanya.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.50 sen sesaham biasa berjumlah RM1.94 juta. - DagangNews.com