Homeritz catat untung bersih merudum 32.7% kepada RM7.06 juta bagi 1QFY26 ekoran jualan rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Homeritz catat untung bersih merudum 32.7% kepada RM7.06 juta bagi 1QFY26 ekoran jualan rendah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Jan - Homeritz Corporation Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih kira-kira 32.69% kepada RM7.06 juta bagi suku pertama berakhir pada 30 November 2025 (1QFY26).


Jumlah ini merosot berbanding RM10.50 juta pada 1QFY25, disebabkan penyusutan dalam volum jualan serta keuntungan pertukaran wang asing yang didapati lebih rendah dalam tempoh suku berkenaan.


Kumpulan itu melaporkan hasil bagi tiga bulan tersebut turut susut sebanyak 9.49% kepada RM55.81 juta berbanding RM61.66 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya.


"Keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat juga merosot sebanyak 35.32% kepada kira-kira RM8.94 juta berbanding RM13.82 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu," maklum Homeritz kepada Bursa Malaysia.


Selain itu, bagi tempoh tersebut, kumpulan berkenaan merekodkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 1.54 sen, yang turut turun daripada kira-kira 2.27 sen dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.


Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan suku keempat berakhir 31 Ogos 2025 (4QFY25), prestasi masih lagi menunjukkan pemulihan dengan hasil meningkat 8.33% dan PBT juga melonjak kira-kira 31.37%.


Peningkatan tinggi berkenaan tambah Homeritz, didorong oleh situasi volum jualan yang lebih tinggi dan faktor pelbagai perbelanjaan lain dalam syarikat itu didapati lebih rendah sepanjang 1QFY26.


"Kumpulan ini yang terlibat dalam reka bentuk, pembuatan, dan jualan produk perabot seperti sofa, kerusi makan, dan bingkai katil, kini beroperasi dalam keadaan yang tidak stabil," katanya.


Perkembangan tersebut jelasnya, disebabkan ketidaktentuan ekonomi global serta menghadapi kenaikan kos pengeluaran dan turun naik kadar pertukaran asing yang mempengaruhi perolehan syarikat itu.


Homeritz jelasnya, namun akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras dan meneruskan usaha bersepadu untuk membangunkan pelbagai produk baharu, reka bentuk terkini bagi produk sedia ada.


Pihak pengurusan syarikat berkenaan juga bersedia mencapai tahap kecekapan kos yang lebih baik melalui aspek pengurusan kos yang berkesan di semua fungsi bagi suku-suku berikutnya pula.


"Melihat ke hadapan, Lembaga Pengarah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi kumpulan bagi tahun kewangan semasa, tertakluk kepada sebarang keadaan yang tidak dijangka," katanya.


Sehingga 30 November 2025, kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan deposit, baki bank dan tunai berjumlah RM174.97 juta dengan tidak ada sebarang pinjaman terkumpul. - DagangNews.com