HLIB turunkan unjuran pendapatan TM, namun harga sasaran dinaikkan kepada RM8.50 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB turunkan unjuran pendapatan TM, namun harga sasaran dinaikkan kepada RM8.50

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 30 Okt – Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) menurunkan sedikit unjuran pendapatan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi FY25–FY27 sebanyak 0.6–1 peratus susulan semakan kadar pembayaran dividen.

 

Bagaimanapun bank pelaburan itu yakin momentum pendapatan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini berikutan sumbangan penuh daripada kapasiti pusat data baharu dan pertambahan langganan bersih Unifi.

 

HLIB Research berkata, TM telah melakukan semakan terhadap kadar pembayaran dividen syarikat kepada 70–80 peratus bagi FY26–FY27, meningkat daripada 60 peratus sebelum ini.

 

Penyesuaian ini menyebabkan unjuran pendapatan TM diturunkan antara 0.6 hingga 1 peratus bagi tempoh berkenaan, selaras dengan perubahan jangkaan pembayaran dividen.

 

“TM dijangka menambah 20 megawatt (MW) kapasiti IT baharu pada separuh kedua tahun ini melalui pengembangan pusat data di Lembah Klang dan Iskandar Puteri. 

 

"Permintaan adalah kukuh, dengan saluran jualan yang mantap membolehkan TM memilih pelanggan dan menetapkan harga lebih tinggi,” kata HLIB Research.

 

HLIB Research turut menambah Fasa 1 fasiliti TM Nxera berkapasiti 64 MW – usaha sama dengan Singtel – dijadual siap pada separuh kedua 2026, dengan pra-jualan yang kukuh dan rancangan untuk pengembangan lanjut.

 

HLIB Research mengekalkan saranan BELI ke atas TM dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM8.50 daripada RM7.90 sebelum ini, selari kenaikan dasar dividen dan perkembangan positif berkaitan pusat data sebagai pemangkin utama penilaian semula.

 

“TM terus menjadi pemacu utama pelaksanaan jalur lebar dan 5G di Malaysia, disokong oleh infrastruktur gentian optik yang luas. Selain menyediakan capaian kepada pengendali pusat data, TM juga meningkatkan kapasiti pusat data sendiri untuk menangkap permintaan yang berkembang daripada perusahaan, hyperscaler dan pelanggan kerajaan,” tambah HLIB Research.

 

Syarikat juga mencatat kemajuan dalam menguruskan kadar penamatan langganan Unifi melalui tawaran retention yang disasarkan, dengan tanda awal menunjukkan pertambahan bersih dua digit pada 3Q25.

 

Segmen TM Global dan TM One dijangka pulih susulan faktor bermusim, sumbangan daripada pengembangan pusat data, serta sokongan awal daripada pelaksanaan 5G U Mobile.

 

HLIB Research turut menekankan intensiti perbelanjaan modal TM telah mereda selepas mencapai kemuncak semasa program pengembangan jalur lebar seluruh negara, membolehkan penjanaan aliran tunai bebas yang kukuh. - DagangNews.com