HLIB tingkatkan unjuran terhadap Capital A, jangka keluar PN17 menjelang 1Q26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB tingkatkan unjuran terhadap Capital A, jangka keluar PN17 menjelang 1Q26

Gambar ihsan Global Creative and Media Agency
Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 21 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan Capital A Bhd mampu untuk keluar daripada status Practice Note 17 (PN17) menjelang suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026). 

 

Menurut firma penyelidikan itu, perkembangan ini dijangka berlaku selepas penjualan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X Bhd dan pelaksanaan dividen dalam bentuk saham (dividend-in-specie) AAX.

 

Capital A akan mengagihkan 1.69 bilion saham AAX kepada para pemegang saham, bersamaan 389 saham AAX bagi setiap 1,000 saham Capital A pada 3 Disember.

 

HLIB berkata, harga saham Capital A pada 91.5 sen dianggap “sangat tidak mencerminkan nilai sebenar”, memandangkan nilai pegangan saham AAX sahaja mencecah 92 sen sesaham, manakala baki perniagaannya dinilai antara 80 hingga 92 sen sesaham.

 

Sehubungan itu firma berkenaan menaikkan harga sasaran 12 bulan bagi saham Capital A daripada RM1.68 kepada RM1.70, selepas beralih kepada penilaian berasaskan jumlah bahagian (sum-of-parts). Bagaimanapun, ia tidak mengubah unjuran pendapatan syarikat.

 

Di peringkat pasaran, pandangan penganalisis terhadap Capital A bercampur-campur, namun sedikit cenderung ke arah negatif. 

 

Purata harga sasaran 12 bulan yang dikumpulkan Bloomberg ialah RM1.13. 

 

HLIB kekal sebagai yang paling optimis pada RM1.70, manakala satu-satunya saranan ‘jual’ menjangkakan saham itu diniagakan sekitar 60 sen.

 

HLIB turut menjangkakan penjualan Aviation Group Capital A kepada AAX diselesaikan menjelang November 2025.

 

Selepas pelupusan segmen penerbangan, Capital A akan berubah menjadi kumpulan perkhidmatan pelancongan dan digital, memberi tumpuan kepada lima perniagaan utama bukan penerbangan — ADE (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih), Teleport Logistics, MOVE Digital Superapp, BigPay dan ABC (AirAsia Branding Company). 

 

Syarikat itu juga mempunyai pegangan tentatif 20% dalam perniagaan penerbangan (AirAsia Aviation Group), yang dirancang untuk diagihkan sebagai dividend-in-specie pada masa depan, dengan perancangan jangka panjang untuk dilistingkan.

 

HLIB menjangkakan AAX, selepas pengambilalihan perniagaan penerbangan, mampu menjana keuntungan RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion menjelang FY2026.

 

Pada penilaian 8 kali nisbah harga-ke-untungan (P/E), modal pasaran AAX berpotensi meningkat kepada RM9.6 bilion hingga RM12 bilion, yang bersamaan harga saham RM2.64 hingga RM3.30.

 

Capital A turut dilihat mendapat manfaat daripada kelemahan dolar AS, harga minyak yang rendah dan permintaan perjalanan udara yang kukuh, selain potensi lonjakan nilai daripada 672.5 juta saham AAX yang bakal diagihkan dalam tempoh satu hingga dua tahun, menurut HLIB. - DagangNews.com