KUALA LUMPUR 27 Jan – Hibrid nanas baharu keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dikenali sebagai MS16 dilihat berpotensi tinggi untuk dikomersialkan secara meluas dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa, susulan ciri kualiti buah, tahap kemanisan serta ketahanan penyakit yang memberangsangkan.
Seorang pengusaha nanas dari Sabak Bernam, Rosdin Napiah, 58, berkata, nanas MS16 merupakan antara varieti terbaik yang pernah diusahakannya, dengan rasa yang lebih manis serta kualiti buah yang konsisten.
“Sepanjang pengalaman menanam MS16, saya dapati ia mudah ditanam kerana tidak banyak masalah. Dari segi pembajaan juga tidak perlu banyak dan ia sukar dijangkiti penyakit, jadi penggunaan racun serangga dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Sabak Bernam.
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Din Nanas dalam kalangan penduduk tempatan, faktor tersebut menjadikan MS16 sangat sesuai untuk dikomersialkan.
“Sebab itu saya yakin MS16 ini boleh dikembangkan secara komersial kerana buahnya cantik, tahan lama dan manis, itu yang paling penting,” katanya.
Pak Din telah menceburi bidang penanaman nanas sejak 2019 dan kini mengusahakan lebih 50,000 pokok nanas merangkumi varieti MD2, yankee, SG1 serta MS16 di tiga bidang tanah berkeluasan kira-kira enam ekar di sekitar Sabak Bernam.
Menurutnya, sebelum beralih kepada nanas, beliau menanam ubi kayu namun mendapati tanaman nanas mampu menjana pulangan yang lebih lumayan.
“Pada peringkat awal, saya hanya tanam MD2 daripada jambul nanas yang dibuang di tepi jalan di Meru. Saya kutip dan tanam di kampung, akhirnya berjaya kumpul sekitar 4,000 jambul. Alhamdulillah, pendapatan meningkat berlipat ganda dan sejak itu saya terus fokus kepada tanaman nanas,” katanya.
Beliau berkata, penglibatannya dengan nanas MS16 bermula apabila diperkenalkan oleh pegawai MARDI pada majlis pelancaran varieti itu pada Disember 2023, di mana beliau membeli 100 anak pokok.
Susulan pengalaman luasnya, Pak Din dipilih menyertai projek perintis MARDI dan dibekalkan 1,000 pokok MS16 pada April 2024.
“Sepanjang mengusahakan MS16, saya sentiasa berhubung dengan MARDI untuk mendapatkan nasihat teknikal dan pada masa sama berkongsi pengalaman di lapangan bagi penambahbaikan. Secara keseluruhan, kualitinya setanding MD2 kerana nilai Brix MS16 sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga 20%,” katanya.
Beliau menambah, MS16 turut mempunyai tekstur rangup, aroma yang baik serta kurang rasa lidas, sekali gus meningkatkan penerimaan pengguna.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik MARDI, Nurul Shamimi Abdul Ghani berkata, pengenalan hibrid MS16 bertujuan menyediakan alternatif varieti nanas manis dan berkualiti kepada pengusaha, di samping memperkayakan sumber genetik tanaman nanas negara.
Menurut beliau, MS16 merupakan hasil kacukan induk Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia, dengan sasaran untuk pasaran segar berhasil tinggi serta toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.
“Hibrid MS16 menunjukkan prestasi sangat baik dari segi saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak untuk bahan tanaman serta tahap toleransi yang tinggi terhadap penyakit reput teras bakteria,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kelebihan tambahan MS16 ialah kebolehannya disimpan sehingga sekitar tujuh hari pada suhu rendah 10°C dan lima hari pada suhu ambien 25°C, menjadikannya sesuai untuk pasaran segar tempatan serta produk terproses seperti jus.
Menurut Nurul Shamimi, ciri-ciri tersebut memberi kelebihan kepada MS16 untuk dikembangkan secara komersial dan berpotensi memenuhi permintaan pasaran domestik serta eksport pada masa hadapan. - DagangNews.com







