KUALA LUMPUR 27 Feb - Hibiscus Petroleum Berhad mencatat lonjakan untung bersih sebanyak 32% kepada RM70.3 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 (Q2 FY2026), didorong peningkatan jumlah jualan dan kecekapan operasi yang lebih baik meskipun harga purata direalisasi minyak dan gas lebih rendah.
Bagi suku berkenaan, syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas itu merekodkan hasil sebanyak RM544.5 juta, meningkat 26% suku ke suku (QoQ), manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) naik 28% kepada RM243.9 juta.
Prestasi lebih baik itu disokong peningkatan 32% jumlah jualan kepada 2.5 juta tong setara minyak (MMboe), susulan operasi kembali stabil selepas penyiapan kerja penyelenggaraan berjadual utama pada suku pertama FY2026 melibatkan PSC PM3 CAA di Malaysia dan Blok B Maharajalela Jamalulalam di Brunei Darussalam.
Pengeluaran meningkat 10% QoQ kepada 26,108 tong setara minyak sehari (boe/hari), sekali gus meletakkan kumpulan di landasan tepat untuk mencapai sasaran panduan jumlah jualan FY2026 antara 9.0 MMboe hingga 9.4 MMboe.
Teal West, UK
Dari segi pembangunan aset, kumpulan berjaya menyiapkan fasa penggerudian Projek Pembangunan Teal West di United Kingdom pada 14 Januari 2026. Kerja-kerja pemasangan luar pesisir dijadual bermula April 2026 dengan pengeluaran minyak pertama disasarkan pada pertengahan 2026.
Seiring prestasi kewangan yang bertambah baik, Hibiscus Petroleum mengisytiharkan dividen interim tunggal peringkat kedua sebanyak 2.0 sen sesaham pada 27 Februari 2026, menjadikan jumlah dividen diisytiharkan bagi separuh pertama FY2026 setakat ini sebanyak 4.0 sen sesaham.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan menyasarkan jumlah minimum dividen 8.0 sen sesaham sekiranya harga purata minyak berada antara AS$65 hingga AS$75 setong. Jumlah itu boleh meningkat kepada 10.0 sen sesaham sekiranya harga minyak melebihi AS$75 setong.
Pengarah Urusannya, Datuk Dr Kenneth Pereira berkata, kumpulan kekal yakin untuk mencapai sasaran operasi tahun ini.
“Kami kekal di landasan untuk memenuhi panduan jumlah jualan FY2026 antara 9.0 MMboe hingga 9.4 MMboe. Kami telah berjaya menyiapkan fasa penggerudian Teal West pada Januari 2026 dan kekal menyasarkan pengeluaran pertama pada pertengahan 2026,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kumpulan menerima pengiktirafan daripada PETRONAS bagi kempen pengeluaran North Sabah dan Kinabalu, memenangi Anugerah Hibiscus Perdana Menteri bagi kecemerlangan alam sekitar di Terminal Minyak Mentah Labuan serta memulakan projek solar fotovoltaik (PV) 12MWp di Brunei Darussalam.
Secara berasingan, Hibiscus Petroleum memaklumkan perbincangan dengan pelabur berwibawa sedang berlangsung bagi meneroka potensi pelaburan strategik jangka panjang.
Kemasukan pelabur berkenaan dijangka memperkukuh asas modal syarikat dan menyokong misi pertumbuhannya menjelang 2030.
Kumpulan itu telah melantik Pareto Securities sebagai penasihat kewangan bagi membantu menilai cadangan yang diterima berhubung potensi pelaburan strategik tersebut. - DagangNews.com








