KUALA LUMPUR 17 Dis - Hiap Teck Venture Bhd mencatatkan prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (Q1 FY26) yang melebihi jangkaan disokong oleh prestasi segmen pembuatan yang lebih kukuh, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
HLIB berkata, pengeluar produk besi itu mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM31.7 juta bagi suku tersebut, melebihi unjuran awal dan menyumbang 30.1 peratus daripada anggaran keuntungan tahunan penuh syarikat.
"Keuntungan bersih teras Q1 FY26 Hiap Teck sebanyak RM31.7 juta melepasi jangkaan kami, iaitu 30.1 peratus daripada anggaran tahunan, dengan perbezaan utama datang terutamanya daripada prestasi segmen pembuatan yang lebih kukuh daripada jangkaan," kata HLIB.
Bagi prospek sektor, HLIB menekankan keadaan pasaran besi global kekal bercampur, dengan harga stabil pada tahap lebih rendah berikutan permintaan yang berhati-hati dan penyesuaian bekalan yang berterusan.
HLIB menambah, syarat pertukaran kapasiti lebih ketat yang baru diumumkan di China dijangka secara beransur-ansur mengurangkan kapasiti berlebihan, manakala permintaan berasaskan infrastruktur di beberapa bahagian Asia Selatan dan Tenggara akan terus menyokong penggunaan besi serantau.
Menurut firma itu lagi, Hiap Teck turut menekankan pelaksanaan cukai karbon yang bermula 2026 dijangka mempengaruhi struktur kos dan daya saing industri besi.
“Perkara ini masih belum diambil kira dalam andaian keuntungan kami memandangkan butiran masih tidak diumumkan,” katanya. - DagangNews.com








