Hextar Healthcare catat kerugian bersih RM4.3 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Healthcare catat kerugian bersih RM4.3 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2025

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Hextar Healthcare Berhad (HHB) bersama anak syarikatnya melaporkan kerugian bersih sebanyak RM4.3 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2025, berbanding kerugian RM2.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, HHB berkata kerugian tersebut meningkat 70.3% tahun ke tahun, dipengaruhi oleh penurunan hasil sebanyak 13.5% kepada RM39.2 juta.

 

Selain itu kesan kadar pertukaran asing yang tidak memihak serta kos operasi yang lebih tinggi turut mempengaruhi kerugian tersebut.

 

HHB menjelaskan bahawa meskipun berdepan cabaran operasi dan kadar penggunaan kapasiti kilang yang rendah, kumpulan kekal komited terhadap perniagaan terasnya iaitu segmen sarung tangan guna semula yang masih menunjukkan kestabilan.

 

Pengarah Urusan HHB, Khoo Chin Leng, berkata walaupun kumpulan telah mengambil langkah perlu bagi menangani permintaan dan harga yang lemah, syarikat kekal berhati-hati terhadap persekitaran operasi yang tidak menggalakkan.

 

"ini termasuk harga tenaga dan bahan mentah yang masih tinggi serta ketidaktentuan perdagangan dan rantaian bekalan global kesan daripada dasar tarif perdagangan AS,” katanya.

 

Chin Leng menambah, HHB menjangka keadaan pasaran yang mencabar ini akan berlarutan dalam jangka pendek hingga sederhana, namun syarikat tetap berpegang pada matlamat untuk muncul sebagai peneraju industri penjagaan kesihatan melalui inovasi berterusan dan strategi pertumbuhan.

 

Selain operasi sarung tangan dan peranti perubatan yang sedia ada, langkah strategik HHB menceburi pelaburan hartanah juga dijangka mula memberikan pulangan. 

 

Projek Hextar World @ Empire City, pusat beli-belah dan gaya hidup utama yang dimiliki 20% oleh syarikat, dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

 

Mengulas perkembangan ini, pemegang saham terbesar HHB, Dato’ Eddie Ong Choo Meng, berkata dengan memanfaatkan pertumbuhan kukuh sektor komersial dan runcit negara, pelaburan ini dijangka dapat menjana aliran pendapatan alternatif yang konsisten bagi Kumpulan dalam jangka sederhana dan panjang. 

"Kami kekal komited untuk memberikan pulangan kukuh dan mampan kepada para pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com