Hextar bersama gergasi teknologi awan China, IEC bangunkan rumusan pintar industri durian dan bangunan hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar bersama gergasi teknologi awan China, IEC bangunkan rumusan pintar industri durian dan bangunan hijau

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Sept – Hextar Group bersama gergasi teknologi awan dari China, Inspur Enterprise Cloud Technology (Shandong) Co., Ltd. (IEC) bakal menjalinkan kerjasama bagi membangunkan rumusan berteknologi tinggi dalam sektor pertanian pintar dan pengurusan tenaga bangunan hijau.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hextar berkata kerjasama itu terjalin menerusi pemeteraian dua Surat Hasrat (LOI) membabitkan dua anak syarikat Hextar – Hextar R&D International Sdn Bhd (HRD) dan TK Rental Sdn Bhd (TKR), masing-masing di bawah naungan Hextar Global Berhad (HGB) dan Hextar Industries Berhad (HIB).

 

IEC merupakan antara pelopor awal dalam industri perkhidmatan awan di China, kini menyediakan rumusan “Cloud + AI” kepada lebih 120 perusahaan besar milik kerajaan serta terlibat dalam transformasi digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di lebih 50 bandar di China.

 

Menurut Hextar, menerusi LOI pertama, HRD dan IEC akan membangunkan sebuah Platform Pertanian Pintar Bersepadu, dengan tumpuan awal kepada industri durian – salah satu komoditi eksport utama negara.

 

Platform ini akan memanfaatkan kepakaran kecerdasan buatan (AI) dan data raya (big data) dalam pengurusan penyakit dan perosak tanaman, serta boleh diperluas kepada sektor lain seperti kelapa sawit dan buah-buahan tempatan mengikut permintaan pasaran.

 

Pengarah Urusan Kumpulan HGB, Lee Chooi Keng berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik untuk mempertingkatkan produktiviti dan daya tahan sektor pertanian negara.

 

“Gabungan kepakaran pasaran tempatan dan teknologi AI IEC membolehkan kami menawarkan rumusan berasaskan data yang praktikal dan mampan untuk petani. Ini selaras dengan matlamat kami untuk memodenkan sektor pertanian negara,” katanya.

 

Sementara itu dalam LOI kedua, TKR dan IEC akan bekerjasama membangunkan 'Green Building Intelligent Control Cloud (GBICC)' – satu sistem kawalan pintar berasaskan AI yang direka untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan operasi bangunan.

 

Penyelesaian ini menyasarkan sektor seperti pusat beli-belah, hospital, infrastruktur pengangkutan dan bangunan pejabat, sekaligus menyokong agenda kelestarian negara dalam sektor hartanah dan pembinaan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan HIB, Benny Ang menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan meletakkan Hextar di barisan hadapan transformasi digital dalam persekitaran pengurusan bangunan.

 

“Rumusan GBICC akan menjadi pemacu utama dalam pengurusan tenaga yang lebih bijak, sejajar dengan sasaran Malaysia menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” ujarnya.

 

Sementara itu pemegang saham utama HGB dan HIB, Datuk Eddie Ong, berkata kedua-dua kerjasama ini menggambarkan iltizam berterusan Hextar untuk menjadi rakan dagang pilihan yang menyuburkan kehidupan menerusi penciptaan rumusan dan produk lestari.

 

“Dengan meletakkan prinsip kemampanan dalam tindakan korporat kami, kami komited untuk menyampaikan teknologi bersepadu untuk petani dan komuniti perniagaan, mempercepatkan pendigitalan dan memacu nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com