KUALA LUMPUR 19 Feb - Heitech Padu Bhd telah diserahkan saman berjumlah RM5.05 juta oleh sebuah syarikat pengurusan fasiliti berhubung satu kontrak perkhidmatan.
Syarikat pengurusan fasiliti itu, Kayangan Cahaya Sdn Bhd, memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Kayangan Cahaya menuntut jumlah tersebut berkaitan perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan bangunan bertarikh 5 April 2024 serta kerja-kerja berkaitan, menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.
“Heitech Padu mempertikaikan tuntutan tersebut dan kini dalam proses meneliti dakwaan berkenaan bersama peguam cara. Syarikat berhasrat untuk melawan saman tersebut,” kata Heitech Padu.

Heitech Padu memaklumkan, lembaga pengarahnya belum dapat menentukan secara pasti kesan kewangan daripada saman itu sementara menunggu pemfailan pembelaan dan perkembangan lanjut prosiding.
“Tiada sebarang peruntukan dibuat pada peringkat ini sementara menunggu penilaian undang-undang,” katanya.
Saham Heitech Padu ditutup naik dua sen atau 1.2% kepada RM1.69 sehari sebelum cuti Tahun Baru Cina, sekali gus meletakkan nilai pasaran syarikat pada RM275.44 juta. - DagangNews.com








