Hasil UUE Holdings melonjak 30% kepada RM60.06 juta pada 3QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil UUE Holdings melonjak 30% kepada RM60.06 juta pada 3QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan – UUE Holdings Berhad mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 30.4% kepada RM60.06 juta pada suku ketiga berakhir 28 Februari 2026 berbanding RM46.07 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disokong terutamanya oleh segmen penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah dan perkhidmatan dalam segmen EPCC sistem solar fotovolta yang baharu diperkenalkan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UUE berkata segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM14.37 juta atau 36% kepada RM54.4 juta manakala EPCC sistem solar menyumbang RM0.57 juta pada suku ini. 

 

“Bagaimanapun, jualan paip HDPE  menyusut sebanyak RM0.96 juta atau 16.4% disebabkan penurunan permintaan dari pelanggan di Singapura,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Namun, Kumpulan itu merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM4.09 juta pada suku ini, berbanding keuntungan RM9.43 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

Kerugian ini banyak dipengaruhi oleh perbelanjaan satu kali berkaitan skim opsyen saham pekerja (ESOS) berjumlah RM12.6 juta.

 

Setelah melaraskan perbelanjaan ESOS, keuntungan sebelum cukai UUE meningkat kepada RM8.49 juta, menunjukkan penurunan sebanyak 9.6% berbanding RM9.43 juta suku sebelumnya. 

 

UUE berkata penurunan ini disebabkan kos pentadbiran yang lebih tinggi dan margin kasar yang lebih rendah bagi operasi di Singapura.

 

Bagi keseluruhan tempoh kewangan sehingga 30 November 2025, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak 17.2 peratus kepada RM150.13 juta daripada RM128.08 juta tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan dalam projek utiliti bawah tanah dan permulaan pendapatan dari projek EPCC solar.

 

Segmen paip HDPE mencatatkan penurunan sebanyak 25.8 peratus dalam jualan tahun ke tahun kepada RM14.08 juta, terutamanya kerana permintaan eksport yang lemah ke Singapura. Walaupun menghadapi cabaran ini, Kumpulan berjaya merekodkan keuntungan selepas cukai RM1.66 juta.

 

UUE mengekalkan aliran tunai operasi yang stabil walaupun mengalami tekanan dari perbelanjaan modal dan pelaburan baru dalam subsidiari Enerxite yang fokus kepada projek solar. Aliran tunai bersih dari aktiviti operasi bagi suku ini adalah - RM1.09 juta, berbanding - RM17.10 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Dari segi prospek, UUE mengekalkan pandangan positif terhadap sektor tenaga dan utiliti di Malaysia dan Singapura.

 

Tenaga Nasional Berhad merancang perbelanjaan modal sebanyak RM42.8 bilion dari 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh grid nasional, manakala Singapura menjangka permintaan pembinaan meningkat kepada S$47-53 bilion pada 2025.

 

Kumpulan juga mengekalkan buku tempahan kukuh berjumlah RM508.5 juta, termasuk projek sedia ada dan yang telah diperoleh di Malaysia dan Singapura.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan UUE Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata pertumbuhan hasil yang dicapai mencerminkan keupayaan pelaksanaan serta kebolehskalaan perniagaan teras Kumpulan.

 

“Kemasukan UUE ke dalam segmen penggerudian arah mendatar dasar laut (subsea HDD) melalui kontrak pertama bersama ASEAN Cableship sebagai pencapaian penting yang membuka peluang kepada projek infrastruktur marin berskala lebih besar selepas ini,” katanya.- DagangNews.com