Hasil Q4FY25 Teo Seng meningkat namun keuntungan terjejas susulan harga telur lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Q4FY25 Teo Seng meningkat namun keuntungan terjejas susulan harga telur lebih rendah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 FebTeo Seng Capital Berhad mencatatkan hasil RM194.4 juta bagi Q4FY25, meningkat 3.2% berbanding RM188.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, namun keuntungan sebelum cukai terjejas susulan penurunan harga jualan telur serta penamatan subsidi telur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata peningkatan hasil itu disokong oleh peningkatan kuantiti jualan telur dan produktiviti yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai merosot 41.0% kepada RM42.9 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan harga jualan telur yang lebih rendah.

 

Bagi tempoh 12 bulan 2025, Teo Seng mencatatkan hasil RM735.9 juta, susut 2.4% berbanding RM753.8 juta pada 2024.

 

Keuntungan sebelum cukai turut menurun 21.1% kepada RM156.5 juta, dipengaruhi oleh harga jualan purata yang lebih rendah walaupun jumlah jualan telur meningkat.

 

Dari segi prestasi segmen, segmen penternakan ayam mencatatkan hasil suku tahunan sebanyak RM165.1 juta, meningkat 3.3% tahun ke tahun.

 

Namun, keuntungan sebelum cukai segmen itu susut 43.4% kepada RM38.3 juta, susulan penamatan subsidi telur.

 

Bagi tempoh YTD, segmen ini merekodkan hasil RM621.2 juta dan keuntungan sebelum cukai RM135.9 juta.

 

Sementara itu, segmen pelaburan dan perdagangan produk berkaitan ayam merekodkan hasil RM29.2 juta pada Q4FY25, meningkat 2.3%, namun keuntungan sebelum cukai menurun 10.3% kepada RM4.6 juta.

 

Walaupun begitu, bagi tempoh YTD 2025, hasil dan keuntungan sebelum cukai segmen ini masing-masing meningkat 4.2% dan 22.2%, mencerminkan permintaan yang berdaya tahan.

 

Perbandingan suku ke suku menunjukkan hasil Q4FY25 menurun 3.6% berbanding Q3FY25 berikutan kuantiti jualan telur yang lebih rendah.

 

Namun, keuntungan sebelum cukai melonjak 32.2% berbanding suku sebelumnya, disokong oleh kos makanan ternakan yang stabil, harga jualan telur yang lebih baik serta sumbangan lebih tinggi daripada segmen produk kesihatan haiwan.

 

Teo Seng berkata fokus utamanya kekal pada penternakan ayam penelur, disokong secara strategik oleh pelaburan dan perdagangan produk berkaitan ayam.

 

Kumpulan turut melihat sektor ayam itik tempatan kekal kukuh dalam masa terdekat, dipacu oleh permintaan pengguna yang stabil terhadap telur sebagai sumber protein utama dan mampu milik.

 

Prestasi Ringgit Malaysia yang mengukuh turut memberi kesan positif kepada persekitaran operasi kumpulan melalui penurunan kos import bahan mentah dan harga makanan ternakan, sekali gus meningkatkan daya saing pasaran. - DagangNews.com