KUALA LUMPUR 30 Jan – Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan peningkatan hasil 6.1% pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) kepada RM232.09 juta berbanding RM218.79 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Selain itu, pendapatan bersih hartanah (NPI) turut meningkat sebanyak 11.1% didorong terutamanya oleh sumbangan pendapatan sewaan daripada hotel-hotel yang baru diperoleh.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pavilion REIT berkata NPI bagi tempoh tiga bulan itu meningkat kepada RM149.82 juta berbanding RM134.86 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pavilion REIT merupakan antara amanah pelaburan hartanah (REIT) runcit terbesar di Malaysia dengan tumpuan utama kepada aset pusat beli-belah.
“Selain sumbangan sewaan daripada Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur yang diperoleh pada Jun 2025, peningkatan NPI turut disokong oleh prestasi lebih baik Pavilion Bukit Jalil serta pengurangan marginal dalam perbelanjaan operasi hartanah,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi pulangan kepada pemegang unit, Pavilion REIT mencadangkan agihan pendapatan akhir sebanyak 5.03 sen seunit yang akan dibayar pada 27 Februari ini, menjadikan jumlah agihan bagi keseluruhan tahun kewangan 2025 sebanyak 10 sen seunit.
Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), Pavilion REIT merekodkan NPI lebih tinggi sebanyak 8.6% kepada RM567.89 juta berbanding RM522.77 juta pada tahun sebelumnya, sejajar dengan peningkatan hasil sebanyak 6.6% kepada RM901.49 juta daripada RM845.87 juta.
Mengulas prospek masa depan, Pavilion REIT berpandangan positif terhadap prestasinya disokong oleh jangkaan perbelanjaan pengguna domestik yang kekal berdaya tahan serta peningkatan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Selain itu, inisiatif peningkatan aset, kerjasama strategik dan kecekapan operasi turut dijangka memacu prestasi portfolio secara keseluruhan.
“Pengurusan kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh prestasi aset, meningkatkan pengalaman pengunjung serta mengekalkan pengurusan kos dan modal yang berhemah bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com








