KUALA LUMPUR 28 Jan – IGB Commercial REIT terus mencatat prestasi kewangan yang positif dengan pertumbuhan hasil sebanyak 14.3% kepada RM68.8 juta pada suku keempat 2025 (4QFY25) berbanding RM60.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepad Bursa Malaysia, IGB berkata pendapatan bersih hartanah (NPI) juga melonjak 37.5% kepada RM38.8 juta daripada RM28.2 juta.
“Bagi keseluruhan tahun 2025, IGB mencatat jumlah hasil sebanyak RM259.9 juta, meningkat 12.5% berbanding RM231.0 juta pada 2024.
“NPI tahunan juga meningkat 17.5% kepada RM153.3 juta daripada RM130.5 juta, menunjukkan pengurusan aset yang berkesan dan strategi sewaan yang mantap,” katanya dalam makluman tersebut.
Prestasi ini didorong oleh peningkatan hasil sewaan melalui kadar penghunian yang lebih tinggi serta kadar sewaan purata yang meningkat.
IGB berkata pertumbuhan ini mencerminkan pendekatan berdisiplin dalam pengurusan aset dan komitmen berterusan mereka untuk menjana nilai lestari bagi pemegang unit.
Pengurusan IGB mengisytiharkan pengagihan sebanyak 95% daripada pendapatan boleh diagihkan suku tahunan, iaitu berjumlah RM26.4 juta atau 1.10 sen sesaham pada 4QFY25.
Berdasarkan harga unit IGB pada RM0.635 setakat 31 Disember 2025, ini bersamaan dengan hasil agihan tahunan sebanyak 6.66%.
Dalam usaha memperkukuh kelestarian, IGB mengumumkan bahawa empat hartanahnya iaitu Hampshire Place Office, Centrepoint South Tower, Centrepoint North Tower, serta Menara IGB & IGB Annexe telah dianugerahkan sijil GreenRE Emas.
Sementara itu, Boulevard Offices & Retail menerima sijil GreenRE Gangsa.
Dengan pengiktirafan terbaharu ini, kesemua sepuluh aset dalam portfolio IGB kini memiliki pensijilan hijau, menandakan pencapaian penting dalam kepimpinan IGB dalam kelestarian hartanah komersial di Malaysia.
“Prospek ekonomi Malaysia dijangka terus positif, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, sektor perkhidmatan yang berkembang dan pendapatan rakyat yang stabil. Kadar faedah yang kekal stabil juga mewujudkan persekitaran operasi yang selesa dan kondusif untuk perniagaan.
“Dengan kadar penghunian portfolio sebanyak 92% pada suku semasa, prestasi kukuh IGBCR terus disokong oleh strategi penyewaan yang berkesan serta keupayaan memenuhi permintaan berterusan terhadap aset berkualiti,” katanya. - DagangNews.com








