KUALA LUMPUR 30 Jan – Hartanah Kenyalang Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM275.33 juta daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia bagi projek pembinaan penjara di Sibu, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hartanah Kenyalang berkata kontrak itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 36 bulan, bermula 9 Februari 2026 sehingga 8 Februari 2029.
“Kontrak itu berkonsepkan design and build di mana syarikat bertanggungjawab daripada peringkat reka bentuk hingga penjara tersebut siap sepenuhnya,” katanya dalam makluman tersebut.
Syarikat itu berkata kontrak tersebut tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pemilikan Hartanah Kenyalang Berhad dan anak syarikatnya.
“Ini akan memberi sumbangan positif terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2026 sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya.

Hartanah Kenyalang menegaskan risiko yang berkaitan dengan kontrak ini adalah risiko operasi dan pelaksanaan biasa, yang akan diuruskan melalui langkah-langkah pengurusan yang sesuai.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung terhadap kontrak ini.
Pengarah syarikat berpendapat bahawa penerimaan kontrak berkenaan adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.
Pada Ogos 2025, kerajaan menerusi Jabatan Penjara Malaysia mengumumkan cadangan projek itu ekoran isu kesesakan di Penjara Sibu yang telah melebihi kapasiti asal iaitu sebanyak 57 peratus.
Situasi itu memberi impak negatif kepada kesejahteraan banduan serta operasi harian kerana penjara tersebut sudah dhaif dan tidak lagi mampu menampung jumlah penghuni semasa.
Penjara baharu ini akan mempunyai kapasiti 1,000 orang banduan yang merangkumi blok kediaman moden, kemudahan kawalan keselamatan terkini yang menepati piawaian antarabangsa berasaskan nilai kemanusiaan. - DagangNews.com








