KUALA LUMPUR 23 Jan – Hartanah Kenyalang Berhad menerima kontrak daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf Stadium Sarawak di Kuching yang bernilai RM184.3 juta.
Tender terbaharu itu diterima anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn Bhd, dan merupakan perkembangan positif terhadap prospek kumpulan berkenaan dalam segmen pembinaan infrastruktur.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mengesahkan tempoh kontrak bagi projek berkenaan adalah selama 12 bulan, berkuat kuasa dari 30 Januari 2026 hingga 29 Januari 2027.
Hartanah Kenyalang, yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad berkata, projek berprofil tinggi itu dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan dan keuntungan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan, di samping mengukuhkan lagi buku pesanan serta keterlihatan pendapatan masa hadapan.
Kontrak berkenaan turut dilihat strategik memandangkan Stadium Sarawak akan menjadi lokasi majlis pembukaan Sukan SEA 2027, yang dijadualkan berlangsung pada September 2027.
Pada Disember 2025, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyatakan kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya majlis pembukaan temasya itu diadakan di Kuching, dengan Stadium Sarawak dipilih sebagai lokasi.
Sehubungan itu, stadium berkenaan akan menjalani kerja naik taraf utama bermula Februari 2026 dan dijangka siap menjelang Jun 2027 manakala Kabinet Sarawak juga telah meluluskan peruntukan bagi penganjuran Sukan SEA 2027 serta penaiktarafan kemudahan stadium.
Mengulas mengenai anugerah kontrak itu, Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, syarikat berbesar hati diberi peluang oleh JKR Sarawak untuk terlibat dalam projek pembaikan dan naik taraf Stadium Sarawak di Petra Jaya, Kuching.
“Syarikat yakin stadium yang dinaik taraf nanti akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan moden yang penting bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk penganjuran Sukan SEA 2027, sekali gus meningkatkan imej Kuching sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan serantau pada masa depan,” katanya.
Beliau menambah, penganugerahan kontrak itu merupakan satu pencapaian penting buat Hartanah Kenyalang kerana ia sekali lagi membuktikan keupayaan kumpulan dalam membina dan menyiapkan pelbagai jenis bangunan, merangkumi hartanah bertanah seperti kedai komersial dan sekolah uzur, sehinggalah bangunan institusi termasuk Yayasan International School, Bangunan Arkib Negeri dan kini Stadium Sarawak.
“Syarikat kekal komited untuk meneroka kaedah baharu bagi memperluaskan skop perkhidmatan agar dapat menembusi segmen pelanggan yang lebih luas dalam pasaran pembinaan yang semakin kompetitif,” katanya. - DagangNews.com








