Harga sasaran KPJ Healthcare dinaikkan kepada RM3.13, disokong prospek hasil – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga sasaran KPJ Healthcare dinaikkan kepada RM3.13, disokong prospek hasil – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 JanRHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas KPJ Healthcare Berhad, namun menaikkan harga sasaran (TP) saham itu kepada RM3.13 berbanding hanya RM3.03 sebelum ini.


Menurut firma penyelidikan tersebut, peningkatan berkenaan mewakili potensi pertambahan sekitar 12%, yang disokong oleh faktor prospek pertumbuhan pendapatan secara lebih jelas mulai tahun ini.


Kumpulan itu katanya, berada pada kedudukan strategik untuk mencatat pertumbuhan keuntungan dipacu sejumlah enam hospital yang dalam fasa awal operasi dan kini beralih kepada penyumbang keuntungan.


"Perkembangan tersebut sekali gus mengurangkan kebergantungan kumpulan penjagaan kesihatan itu terhadap aktiviti pelancongan perubatan berbanding pesaingnya," kata RHB Research dalam notanya.


Firma itu menekankan pertumbuhan pendapatan KPJ Healthcare dijangka disokong oleh peningkatan keuntungan bersih, apabila hospital-hospital berkenaan mencapai tahap perolehan kasar yang positif.


Jelasnya, tiga daripada hospital tersebut hampir mencapai pulang modal peringkat keuntungan sebelum cukai (PBT), selain tumpuan pengurusan kumpulan terhadap kes kepakaran yang bernilai lebih tinggi.


Peningkatan intensiti hasil dijangka menyokong pengembangan margin dan pulangan ekuiti (ROE), dengan RHB Research turut melihat hospital penjagaan sekunder berpotensi meraih permintaan besar.


"Ini terutamanya daripada segmen insurans dan takaful menerusi transformasi industri penjagaan kesihatan (MHIT), khususnya dalam kalangan pesakit berstatus M40 yang sensitif terhadap harga," katanya.


Dari segi penilaian pula, KPJ Healthcare kini diniagakan pada 14.9 kali hasil kasar hadapan 12 bulan, hanya sedikit premium berbanding IHH Healthcare Berhad, sekali gus mencerminkan penilaian wajar.


Bagaimanapun, RHB Research mengingatkan risiko utama termasuk jangkaan jumlah lawatan pesakit yang mungkin lebih rendah daripada unjuran semasa, dan pertumbuhan intensiti pendapatan perlahan. 


Kumpulan berkenaan juga kata firma itu perlu berwaspada dengan peningkatan kos operasi, selain pendedahan KPJ Healthcare yang lebih tinggi terhadap perubahan dasar kawal selia domestik.


"Secara keseluruhan, kami menegaskan kumpulan ini berada dalam pertumbuhan, dengan keterlihatan hasil dan asas perniagaan kukuh meskipun persekitaran yang mencabar," katanya. - DagangNews.com