KUALA LUMPUR 18 Mei - Harga rumah baharu di Sabah dijangka meningkat antara 15 hingga 30 peratus susulan tekanan kos yang semakin meningkat, khususnya akibat kenaikan harga bahan api serta lonjakan ketara harga bahan binaan.
Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Sabah Housing and Real Estate Developers Association atau Shareda), Datuk Johnny Wong Chen Yee berkata ketidaktentuan global termasuk ketegangan geopolitik, kenaikan kos logistik dan tenaga telah memberi tekanan besar kepada sektor pembangunan hartanah, sekali gus mendorong kenaikan harga rumah baharu pada masa hadapan.
Beliau berkata gabungan peningkatan harga diesel tidak bersubsidi serta kenaikan mendadak harga bahan binaan utama dijangka meningkatkan kos keseluruhan pembangunan, yang akhirnya akan diterjemahkan kepada harga jualan rumah yang lebih tinggi.
"Pelbagai faktor kos kini memberi kesan langsung kepada industri, khususnya kenaikan harga bahan api dan bahan binaan utama yang digunakan dalam projek pembinaan," kata beliau pada sidang mediaa selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Shareda pada Sabtu lalu di Kota Kinabalu.
Menurutnya, harga diesel yang sebelum ini sekitar RM2.80 hingga RM3 seliter kini meningkat kepada kira-kira RM5.80 hingga RM6 seliter, sekali gus memberi impak besar kepada kerja-kerja awal pembinaan seperti kerja tanah yang menggunakan jentera berat.
Beliau berkata kenaikan itu memberi kesan berantai kerana hampir semua peralatan pembinaan bergantung kepada diesel tidak bersubsidi sepanjang tempoh projek.

Tekanan kos bahan binaan dan impak kepada struktur harga
Selain itu, beliau berkata harga bahan binaan turut mencatatkan peningkatan ketara dengan beberapa produk meningkat antara 25 hingga 60 peratus.
“Cat yang merupakan produk berasaskan bahan api meningkat sehingga 60 hingga 100 peratus, manakala produk plastik seperti paip PVC naik antara 40 hingga 60 peratus,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerja pembinaan biasanya merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah kos pembangunan, justeru kenaikan kos ini boleh menyebabkan keseluruhan kos projek meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus.
Wong berkata keadaan itu menyebabkan pemaju berdepan tekanan besar kerana margin keuntungan sedia ada semakin mengecil, sedangkan harga hartanah tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Kami perlu mengemukakan kos kepada pihak kerajaan tempatan untuk kelulusan, dan margin keuntungan yang dibenarkan hanya sekitar 25 hingga 30 peratus.
“Dengan kenaikan kos pembinaan, hampir semua margin keuntungan telah terhakis,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan Akta Pengurusan Bangunan baharu yang menurutnya dapat membantu menyelesaikan isu berpanjangan antara pemaju dan pembeli, khususnya berkaitan kelewatan pengeluaran hak milik tanah dan proses penyerahan pengurusan.
Katanya, pengenalan hak milik sementara oleh Jabatan Tanah dan Ukur akan membantu mempercepatkan proses pentadbiran serta mengurangkan pertikaian dalam pembangunan akan datang.

Isu logistik, pelabuhan dan hala tuju pembangunan mampan
Mengenai isu infrastruktur, beliau berkata kesesakan di Pelabuhan Kontena Sepanggar Bay terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan pembinaan, memandangkan kira-kira 70 peratus bahan binaan di Sabah diimport dari luar negara atau Semenanjung Malaysia.
Beliau menjelaskan, kesesakan pelabuhan menyebabkan syarikat perkapalan mengenakan surcaj tambahan kerana proses pemunggahan menjadi lebih lama, dan kos ini akhirnya dipindahkan kepada pemaju serta pembeli rumah.
Wong menggesa kerajaan mempertimbangkan penyelesaian jangka panjang termasuk memperluas kapasiti pelabuhan sedia ada serta membangunkan kemudahan baharu seperti pelabuhan laut dalam di Kudat bagi mengurangkan kebergantungan kepada Sepanggar Bay.
Beliau berkata walaupun kerja-kerja pengembangan sedang dijalankan, Sabah masih memerlukan infrastruktur pelabuhan tambahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan keperluan logistik pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Shareda menggalakkan pemaju untuk mengamalkan pensijilan hijau dan pembangunan mampan menerusi kerjasama dengan GreenRE Sdn Bhd, selaras dengan insentif dan sokongan pembiayaan hijau pada masa hadapan.
Mengenai kebimbangan gempa bumi dan gegaran di Sabah, Wong berkata pembangunan baharu kini dilengkapi dengan reka bentuk kejuruteraan yang lebih kukuh dan faktor keselamatan yang dipertingkatkan.
Beliau berkata keperluan kejuruteraan yang lebih ketat itu turut menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan, sekali gus mempengaruhi harga keseluruhan hartanah di negeri berkenaan. - DagangNews.com








