KUALA LUMPUR 11 Mac – Harga minyak mentah global yang kekal tinggi berpotensi mempercepatkan pelaksanaan program biodiesel B50 di Indonesia, sekali gus meningkatkan permintaan dan menyokong harga minyak sawit mentah (MSM), kata penganalisis.
Maybank Investment Bank berkata konflik berterusan di Timur Tengah telah menyebabkan harga minyak mentah melonjak sehingga AS$119 setong pada satu ketika minggu ini sebelum kembali turun ke bawah paras AS$100 setong.
Lonjakan harga tenaga turut menyaksikan harga gasoil di Eropah naik hampir berganda kepada AS$1,381 setan pada satu ketika, sekali gus menghampiri paras harga MSM di Rotterdam dan mencetuskan minat pelabur terhadap sektor perladangan.
Firma penyelidikan itu berpandangan, harga minyak mentah yang kekal melebihi AS$100 setong boleh mendorong kerajaan Indonesia mempercepatkan pelaksanaan program biodiesel B50, berbanding tahap semasa B40, bagi mengurangkan kebergantungan kepada import diesel serta menjimatkan pertukaran asing.
“Selain itu, langkah tersebut juga dilihat penting dari sudut keselamatan tenaga sekiranya gangguan bekalan minyak berlaku di laluan strategik seperti Selat Hormuz,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Data terkini yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok minyak sawit pada Februari 2026 susut untuk bulan kedua berturut-turut kepada 2.70 juta tan, turun 4% berbanding Januari.
Penurunan stok itu didorong oleh pengeluaran yang merosot kepada 1.28 juta tan, susut 19% berbanding bulan sebelumnya susulan faktor bermusim serta jumlah hari kalendar yang lebih pendek pada Februari.
Pada masa sama, eksport minyak sawit Malaysia turut berkurangan kepada 1.13 juta tan, turun 22% bulan ke bulan tetapi masih 13% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, anggaran awal eksport bagi 10 hari pertama Mac menunjukkan peningkatan ketara, dengan tinjauan oleh syarikat pemantau kargo Amspec dan Intertek merekodkan lonjakan masing-masing sebanyak 45% dan 38% berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan itu dipercayai didorong oleh permintaan sempena Ramadan selain pengurangan sementara eksport dari Indonesia selepas kenaikan levi eksport negara tersebut sebanyak 2.5 mata peratusan yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.
Maybank IB menganggarkan stok simpanan akhir Mac berpotensi susut lagi kepada sekitar 2.30 juta tan sekiranya eksport meningkat kepada 1.50 juta tan manakala pengeluaran pulih kepada 1.35 juta tan.
Bagi 2026, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran harga purata MSM pada RM4,100 satu tan, namun melihat potensi kenaikan sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi dan program B50 di Indonesia dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan.
Dalam kalangan saham perladangan yang diliputi, Maybank IB mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor tersebut dengan pilihan beli utama termasuk SD Guthrie Bhd dan Sarawak Oil Palms Bhd, manakala Genting Plantations Bhd dan TH Plantations Bhd dilihat paling sensitif kepada kenaikan harga MSM.

Sementara itu, RHB Research pula berkata konflik yang berterusan di Timur Tengah memberi kesan pelbagai dimensi terhadap sektor perladangan minyak sawit, dengan potensi manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah namun pada masa sama meningkatkan risiko terhadap permintaan serta kos pengeluaran.
Firma penyelidikan itu berkata Research, lonjakan harga minyak mentah sejak perang bermula telah memberi sokongan kepada harga minyak sawit mentah.
“Harga minyak mentah meningkat kira-kira 30.7% dalam tempoh tersebut, manakala harga MSM turut naik sekitar 11.6%.
“Pada masa sama, jurang harga antara minyak sawit dan gasoil (POGO) menyusut kepada sekitar AS$19.95 setong berbanding AS$52 setong pada awal 2026.
“Ia dijangka meningkatkan kemampuan dana biodiesel Indonesia untuk menyokong pelaksanaan program biodiesel B50 pada kadar cukai eksport dan levi semasa,” katanya.
Jika dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan, program B50 berpotensi mengeluarkan tambahan kira-kira 4 juta tan bekalan minyak sawit daripada pasaran global, sekali gus menyokong harga MSM.
Namun, laporan itu turut menegaskan bahawa konflik tersebut juga membawa beberapa risiko kepada permintaan minyak sawit global.
Penutupan atau gangguan laluan perkapalan berhampiran zon perang berpotensi menjejaskan eksport minyak sawit ke beberapa negara utama termasuk Pakistan, Mesir, Arab Saudi, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran.
Sekiranya konflik berlarutan, sehingga 15% permintaan global minyak sawit boleh terjejas, walaupun penghantaran masih boleh dialihkan melalui laluan alternatif yang lebih panjang.
Selain itu, RHB Research berkata kos pengeluaran juga berpotensi meningkat berikutan gangguan terhadap laluan perdagangan global, khususnya di Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi perdagangan baja dunia.
“Kira-kira satu pertiga perdagangan baja global melalui laluan tersebut, dan sebarang gangguan boleh memberi kesan kepada bekalan serta harga baja, yang merupakan komponen kos utama dalam pengeluaran minyak sawit.
“Pada masa ini, kos baja dianggarkan merangkumi sekitar 20% hingga 30% daripada keseluruhan kos pengeluaran minyak sawit, manakala kos pengangkutan dan logistik sekitar 5% hingga 10%,” katanya.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan penarafan neutral bagi sektor perladangan dengan unjuran harga MSM sebanyak RM4,250 satu tan bagi 2026, memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang masih berterusan.
Menurutnya, sekiranya konflik berakhir atau keadaan kembali stabil, harga MSM berkemungkinan menyusut dengan cepat seperti yang berlaku pada 2022. - DagangNews.com








