Harga minyak sawit mentah dijangka kekal RM4,300 satu tan pada Februari 2026 – MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka kekal RM4,300 satu tan pada Februari 2026 – MPOC

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal mendatar dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 satu tan pada Februari 2026, disokong oleh penurunan bermusim pengeluaran dan paras inventori, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

Badan tersebut berkata, harga MSM kekal berada di atas paras RM4,000 sepanjang Januari 2026 walaupun berdepan tekanan asas pasaran, sekali gus menunjukkan paras berkenaan mula membentuk lantai struktur jangka pendek dengan risiko penurunan yang terhad.

 

Kebimbangan pasaran terhadap dasar biodiesel Indonesia juga dilihat mereda susulan pengesahan bahawa pelaksanaan mandat B50 akan ditangguhkan berikutan dinamik harga yang tidak menggalakkan antara minyak sawit dan minyak gas.

 

“Dengan naratif B50 buat sementara waktu diketepikan, tumpuan pasaran kini kembali kepada asas teras iaitu trend pengeluaran, permintaan eksport dan paras stok,” kata MPOC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut MPOC, dalam persekitaran tersebut, permintaan import global bagi minyak sawit dijangka mengukuh dan berpotensi mengatasi minyak kacang soya pada 1Q2026.

 

Ia memaklumkan harga minyak kacang soya di Argentina mencecah paras tertinggi dua tahun pada Januari dan diniagakan pada premium AS$140 satu tan berbanding olein sawit RBD Malaysia.

 

Di pasaran domestik India pula, minyak kacang soya mencatat premium AS$84 satu tan berbanding minyak sawit.

 

Walaupun minyak sawit mengekalkan kelebihan harga, MPOC berkata, permintaan import India masih belum pulih sepenuhnya, sebahagiannya disebabkan penyusutan nilai rupee India berbanding ringgit. 

 

Namun, MPOC berpandangan situasi itu bersifat sementara memandangkan kebergantungan struktur India terhadap import minyak sawit kekal kukuh berikutan daya saing kosnya.

 

Dalam pada itu, rancangan Indonesia untuk menaikkan levi eksport MSM kepada 12.5% bermula 1 Mac 2026 dijangka meningkatkan bahagian pasaran Malaysia di India serta menyumbang kepada pengurangan stok minyak sawit domestik.

 

Faktor bermusim turut dijangka menyokong harga dalam tempoh terdekat.

 

Februari yang merupakan bulan dagangan lebih pendek, ditambah dengan beberapa cuti umum serta bulan puasa, dijangka menjejaskan aktiviti penuaian dan mengehadkan bekalan.

 

Dalam konteks pasaran minyak sayuran global, MPOC melihat peningkatan optimisme terhadap kemungkinan kenaikan penggunaan minyak kacang soya domestik di Amerika Syarikat, disokong oleh jangkaan kejelasan berhubung kredit cukai biofuel 45Z dan Kewajipan Isipadu Boleh Diperbaharui (RVO) menjelang awal Mac.

 

Perkembangan itu berpotensi menyerap bekalan minyak kacang soya domestik dan menyokong margin penghancuran menjelang musim penuaian puncak kacang soya Brazil antara Mac hingga Mei.

 

Pengeluaran kacang soya Brazil diunjurkan melebihi 180 juta tan pada 2026, meningkat daripada anggaran 178 juta tan pada akhir 2025, disokong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan.

 

“Lonjakan harga yang mampan bagi minyak sawit dan minyak sayuran lain memerlukan sama ada pelaksanaan progresif mandat biodiesel B45 Indonesia, pemulihan harga minyak mentah, atau kejelasan dasar biofuel Amerika Syarikat yang meningkatkan permintaan minyak kacang soya,” tambah MPOC. - DagangNews.com