KUALA LUMPUR 12 Jan – Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka bergerak dalam jajaran terhad pada 2026 dengan purata RM4,100 satu tan, susulan ketidakpastian dasar biofuel Indonesia (B50) dan faktor geopolitik, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga CPO bagi tahun depan dijangka lebih dipacu oleh permintaan berbanding pertumbuhan bekalan, memandangkan pengeluaran sawit dijangka sederhana pada 2026.
Namun, risiko pengawalseliaan di Indonesia, termasuk kemungkinan penalti besar berjumlah AS$6.54 bilion dan susut nilai bagi syarikat yang didakwa menanam di kawasan hutan, mengekang potensi kenaikan harga, sekali gus mendorong firma itu mengekalkan saranan NEUTRAL.
Menurut laporan itu, terdapat ketidakpastian tinggi dalam permintaan biofuel global, memandangkan mandat B50 Indonesia dan EPA Amerika Syarikat masih belum jelas.
"Walaupun unjuran awal USDA menunjukkan penguncupan nisbah stok terhadap penggunaan (SUR) bagi sembilan minyak sayuran utama kepada 13.1% bagi tahun pemasaran 2025/26, keluaran dan simpanan sawit yang tinggi pada awal tahun mungkin mengehadkan kenaikan harga CPO sementara pada Januari hingga Februari," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB menjangkakan harga CPO diniagakan dalam lingkungan MYR3,700/t hingga MYR4,700/t, dengan kenaikan lebih tinggi 5%–10% sekiranya kerajaan Indonesia melaksanakan mandat B50 tanpa syarat.
Permintaan dijangka meningkat menjelang Tahun Baru Cina (Februari) dan Ramadan (Feb–Mac), bersamaan dengan kitaran pengeluaran rendah tipikal suku pertama.
Laporan itu turut menambah, kerajaan Indonesia mungkin menaikkan levi eksport bagi 2026 bagi membiayai mandat B50, namun kaedah pembiayaan yang mampan masih belum jelas.
Dalam situasi ini, saham pilihan bagi pelabur yang berminat dalam sektor sawit adalah SD Guthrie dan Sarawal Oil Palms (SOP). - DagangNews.com








