Harga minyak mentah lebih mahal akibatkan kos pengeluar Malaysia naik 5.4% pada April - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah lebih mahal akibatkan kos pengeluar Malaysia naik 5.4% pada April - DOSM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 25 Mei - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 5.4% pada April 2026 berbanding 1.1% pada bulan sebelumnya, sekali gus mencatat kenaikan tertinggi sejak Ogos 2022, didorong terutamanya oleh harga minyak mentah dan produk berkaitan petroleum yang lebih tinggi.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, semua sektor merekodkan peningkatan pada April 2026, dengan sektor perlombongan mencatat kenaikan ketara sebanyak 53.4% berbanding 26.5% pada Mac 2026.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu sebahagian besarnya disokong oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah yang melonjak 74.5%.

 

Menurut laporan IHPR Pengeluaran Tempatan April 2026 yang diterbitkan oleh DOSM hari ini, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.7% selepas menyusut 5.6% pada bulan sebelumnya.

 

Peningkatan itu disokong oleh indeks perikanan sebanyak 17.5% serta tanaman kekal yang naik 1.4%.

 

Sektor pembuatan turut meningkat 1.1% berbanding penyusutan 0.8% pada Mac 2026, didorong oleh kenaikan indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 3.8% serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis sebanyak 3.0%.

 

“Pada masa sama, sektor bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 10.8% dan 10.6%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Peningkatan berterusan secara bulanan

Dari segi bulan ke bulan, Mohd Uzir berkata IHPR pengeluaran tempatan terus meningkat 3.2% selepas mencatat kenaikan 4.1% pada bulan sebelumnya.

 

Sektor perlombongan merekodkan peningkatan dua digit sebanyak 19.8% berbanding 32.9% pada Mac 2026, disokong oleh kenaikan indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 21.4% dan pengekstrakan gas asli sebanyak 12.0%.

 

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula meningkat 2.4% berbanding 2.8% pada Mac 2026, terutama disebabkan indeks tanaman kekal yang naik 4.6%.

 

Sektor pembuatan turut meningkat 1.4% berbanding 1.7% pada bulan sebelumnya, didorong oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang meningkat 4.9%.

 

Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat 1.2% dan 0.9%.

 

Semua peringkat pemprosesan catat kenaikan

Mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 26.1% berbanding 9.8% pada Mac 2026, disokong oleh bahan bukan makanan yang naik 31.2%.

 

Pada masa sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 0.8% berbanding penyusutan 1.3% sebelumnya, terutama disebabkan bahan dan komponen pembinaan yang meningkat 5.9%.

 

“Indeks barang siap pula meningkat 0.7% berbanding penyusutan 0.1% pada Mac 2026, didorong oleh peralatan modal yang naik 0.8%,” katanya.

 

Secara bulanan, semua peringkat pemprosesan turut mencatat kenaikan pada April 2026 dengan indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 10.0%.

 

Selain itu, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen serta indeks barang siap masing-masing meningkat 1.9% dan 0.3%.

 

Trend sama di ekonomi utama dunia

Perbandingan dengan beberapa ekonomi terpilih menunjukkan trend peningkatan sama dalam IHPR pada April 2026, didorong harga tenaga dan komoditi global yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos pengeluaran.

 

Di Amerika Syarikat, IHPR meningkat 6.0% berbanding kenaikan 4.3% pada bulan sebelumnya, disokong kos tenaga dan pembuatan yang lebih tinggi.

 

Jepun pula merekodkan peningkatan 4.9% berbanding 2.9% pada Mac 2026, sebahagian besarnya disebabkan kos import bahan api dan bahan mentah yang meningkat.

 

China mencatat peningkatan 2.8% berbanding 0.5% pada bulan sebelumnya.

 

Sementara itu, IHPR Thailand melonjak kepada 9.1% berbanding 6.0% sebelumnya, didorong kenaikan harga dalam sektor berkaitan tenaga dan makanan. - DagangNews.com