Haily peroleh subkontrak RM50.08 juta daripada Gadang Holdings bagi projek perumahan di Gelang Patah, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Haily peroleh subkontrak RM50.08 juta daripada Gadang Holdings bagi projek perumahan di Gelang Patah, Johor

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Haily Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd., memperoleh subkontrak bernilai RM50.08 juta daripada Mandy Corporation Sdn. Bhd., anak syarikat Gadang Holdings Berhad, bagi projek pembangunan kediaman di Gelang Patah, Johor.

 

Projek ini melibatkan pembinaan 91 unit rumah teres dua tingkat bersaiz 22’ x 70’, 45 unit rumah teres dua tingkat bersaiz 22’ x 75’, serta sebuah pencawang dwi-bilik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Ulu Choh, Gelang Patah, Mukim Jeram Batu, Daerah Pontian.

 

Kerja-kerja merangkumi binaan utama, kerja luar serta mekanikal dan elektrikal (M&E), dengan tempoh kontrak tetap selama 20 bulan. Projek ini dikenali sebagai Laman Citra Fasa 3.

See Tin Hai
                 See Tin Hai

 


Pengasas merangkap Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Tin Hai berkata kontrak itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat menyiapkan pembangunan kediaman berkualiti tinggi mengikut masa dan spesifikasi.

 

“Kami berbangga dapat terus mengukuhkan rekod pencapaian di Johor dan projek ini selaras dengan strategi kami menyokong permintaan kediaman berkualiti yang semakin meningkat di negeri ini,” katanya.

 

Dengan penganugerahan ini, jumlah kontrak diperoleh Haily untuk tahun 2025 meningkat kepada kira-kira RM68.11 juta, melibatkan 25 projek yang sedang berjalan dengan nilai kontrak terkumpul sekitar RM1.05 bilion.

 

Johor terus muncul sebagai kawasan pertumbuhan utama sektor hartanah dan pembinaan, disokong oleh inisiatif pemangkin seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS).

 

Subkontrak tersebut dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan Haily bagi tahun kewangan berakhir 2025 hingga 2027. - DagangNews.com