Hab industri mega Sime Darby di Kuala Selangor dijangka mampu jana GDV sehingga RM5 bilion, menurut RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hab industri mega Sime Darby di Kuala Selangor dijangka mampu jana GDV sehingga RM5 bilion, menurut RHB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 10 Nov – Projek hab industri mega  Sime Darby Property Bhd (SDPR) di Kuala Selangor dijangka mampu menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) antara RM4 bilion sehingga RM5 bilion untuk 405 hektar (1,000 ekar) pertama, menurut RHB Research.

 

Bank pelaburan itu berkata, keluasaan keseluruhan tanah projek usaha sama (JV) antara SDPR dan SD Guthrie Bhd (SDG) itu adalah 1,214 hektar (3,000 ekar).

 

Katanya, walaupun pihak pengurusan belum memberikan panduan rasmi mengenai jadual pelancaran dan GDV, RHB menjangkakan pembangunan hab industri mega itu akan dimulakan seawal 2028 hingga 2029, apabila tanah berkenaan siap untuk dibangunkan. 

 

"Berdasarkan anggaran awal, 405 hektar pertama daripada keseluruhan 1,214 hektar tanah itu berpotensi menjana GDV sekurang-kurangnya RM4 bilion hingga RM5 bilion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pembangunan besar-besaran ini merupakan sebahagian daripada usaha sama strategik 50:50 antara SDPR dan SDG untuk membangunkan tanah di kawasan Jalan Acob, Bukit Kerayong dan Bukit Cherakah menjadi sebuah hab industri dan logistik bertaraf mega. 

 

Usaha sama itu akan dimuktamadkan menerusi penubuhan syarikat tujuan khas (SPV).

 

RHB menjangkakan projek tersebut dilihat mampu memperkukuh lagi kedudukan SDPR sebagai peneraju pembangunan hartanah industri di Koridor Guthrie, selepas kejayaan projek Elmina dan Bandar Bukit Raja (BBR), serta inisiatif usaha sama terkini di Pulau Carey yang juga dijalankan bersama SD Guthrie.

 

Katanya, tanah di Kuala Selangor itu dianggap sangat strategik kerana berhampiran dengan Pelabuhan Klang, Bandar Bukit Raja, dan mempunyai akses terus ke Lebuhraya Pantai Barat (WCE) serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal siap tidak lama lagi.

 

Tambahnya, tidak seperti tanah Pulau Carey yang berada di bawah paras laut, profil tanah Kuala Selangor ini lebih menyerupai BBR — justeru, kos awal untuk kerja tanah dan pembangunan infrastruktur dijangka lebih terkawal. 

 

"Hal ini membolehkan pembangunan bermula lebih awal dan menjana pulangan lebih cepat," kata laporan itu lagi.

 

Berdasarkan perbandingan dengan transaksi lalu, RHB menjangkakan tanah itu akan dinilai pada sekitar RM9 hingga RM12 sekaki persegi. 

 

Sebagai rujukan, SDPR sebelum ini memperoleh tanah seluas 948.8 ekar di Kapar (BBR 4) daripada SD Guthrie pada harga RM15 sekaki persegi pada tahun 2022.

 

Pembayaran bagi tanah baharu ini dijangka dibuat secara berperingkat, tertakluk kepada penukaran guna tanah dan pengeluaran hak milik mengikut lot.

 

Selain projek mega Kuala Selangor, SDPR turut mempergiatkan kedudukannya dalam segmen pembangunan industri selepas pandemik. 

 

Dalam tempoh terdekat, tiga projek utama dijangka menjadi pemacu jualan hartanah mulai 2026:

i) Vision Business Park di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0),

ii) Bandar Bukit Raja Business Park / BBR 4, dan

iii) Elmina North / Lagong.

 

Selepas dua projek usaha sama diumumkan, RHB menjangkakan lebih banyak kerjasama baharu akan terjalin antara SDPR dan SD Guthrie, memandangkan SDPR sebelum ini menyatakan minat untuk menambah pegangan tanah di Iskandar Malaysia dan MVV 2.0 — dua kawasan di mana SD Guthrie merupakan antara pemilik tanah utama.

 

Penilaian kekal positif

 

Sementara menunggu butiran lanjut mengenai projek ini, RHB mengekalkan saranan BELI terhadap saham Sime Darby Property dengan harga sasaran RM2.33, bersamaan potensi kenaikan 79% dan hasil dividen sekitar 3%.

 

Penilaian ini berdasarkan diskaun 25% kepada Nilai Aset Bersih Disemak (RNAV) dan premium ESG sebanyak 4%, mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang SDPR dalam segmen pembangunan industri berimpak tinggi. - DagangNews.com