KUALA LUMPUR 22 Jan – Guan Huat Seng Holdings Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan saham dibuka pada 24 sen sesaham, hampir dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen.
Disenaraikan di bawah nama saham “GHS” dengan kod saham 0387, syarikat berpangkalan di Melaka itu melihat penyenaraian sebagai pencapaian penting bagi mengukuhkan rangkaian pengedaran serta menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
GHS Holdings dalam kenyataan hari ini berkata, mempunyai warisan jenama “Guan Huat Seng” sejak 1930-an dan catat prestasi hampir 46 tahun sejak penubuhan Guan Huat Seng (Heng Kee) Sdn Bhd.
Kumpulan telah berkembang daripada peruncit makanan tradisional kepada pengedar dan peruncit produk makanan yang pelbagai, termasuk keupayaan pengeluaran dalaman.
Melalui anak syarikat Guan Huat Seng (Heng Kee) Sdn Bhd dan GHS Food Industries Sdn Bhd, kumpulan mengedar dan menjual pelbagai produk makanan seperti makanan laut tahan lama dan beku, produk perisa, makanan kering dan snek serta produk runcit am.
Operasi ini disokong pengeluaran dalaman produk perisa yang diperakui Halal, selain pensijilan HACCP dan MeSTI bagi pengeluaran sos, pes dan serbuk perasa kering.
Melalui IPO, GHS Holdings mengumpul RM30 juta hasil daripada penerbitan 120 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.25 sesaham.
Hasil tersebut akan digunakan untuk:
• RM12 juta bagi membiayai sebahagian penubuhan Kompleks Bersepadu baharu;
• RM9 juta bagi membiayai sebahagian penubuhan Kemudahan Krubong baharu;
• RM3 juta untuk modal kerja;
• RM1.50 juta bagi perbelanjaan pemasaran; dan
• RM4.50 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan GHS Holdings, Yeo Tien Ee berkata, penyenaraian di Pasaran ACE merupakan detik penentu dalam evolusi kumpulan daripada peruncit makanan tradisional kepada pengedar dan peruncit produk makanan yang pelbagai dengan keupayaan pembuatan dalaman.
“Penyenaraian ini menandakan langkah penting yang memperkukuh hala tuju strategik dan kekuatan operasi syarikat. Dengan dana yang dikumpul daripada IPO, kami akan mempercepatkan pelan pengembangan, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan penyimpanan melalui kemudahan baharu di Melaka serta mengukuhkan kehadiran dalam segmen pengedaran dan runcit,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurutnya, penggunaan hasil IPO terutamanya bagi penubuhan Kompleks Bersepadu Baharu dan Kemudahan Krubong Baharu di Melaka, di samping modal kerja, pemasaran dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian, dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan masa depan syarikat.
Tambah beliau, langkah tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan GHS Holdings dalam industri pengedaran produk makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang semakin berkembang.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








