KUALA LUMPUR 16 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Grid Tenaga ASEAN (APG) sebagai tulang belakang kerjasama negara-negara di rantau ini dalam menghubungkan aspek kemampanan, keselamatan tenaga dan kemampuan kos.
Beliau berkata, APG yang mula dirancang lebih dua dekad lalu menggambarkan aspirasi ASEAN untuk menghubungkan sistem kuasa serantau, berkongsi sumber tenaga dan membina daya tahan menerusi saling kebergantungan.
“Malaysia sejak sekian lama menyokong pembangunan APG. Ia membolehkan kita memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, serta membekalkan tenaga elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik merentas sempadan.
“Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap agenda bersama ini. Dengan kesatuan tekad, kita mampu mengimbangi dilema tiga serangkai tenaga – iaitu keselamatan, kemampanan dan kemampuan – dan menggerakkan pertumbuhan ASEAN untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25, di sini, hari ini.
Anwar berkata, usaha ASEAN menarik penyertaan institusi utama bagi memastikan kejayaan Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF) wajar dipuji.
Malaysia, ujar Perdana Menteri komited sepenuhnya terhadap agenda bersama ini, dan dengan tindakan bersama, rantau ini boleh mengimbangi trilema tenaga dan mengukuhkan pertumbuhan ASEAN untuk beberapa dekad akan dating.
Katanya, cita-cita mesti dipadankan dengan sumber dan APG memerlukan pelaburan berterusan dan pembiayaan inovatif.
"ASEAN, di bawah kepengerusian Malaysia, telah menyokong APGF. APGF yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia akan berfungsi sebagai platform khusus untuk menggerakkan pembiayaan hijau, menyediakan projek yang boleh membawa keuntungan dan mempercepat pelaburan rentas sempadan di darat dan di bawah laut," kata Perdana Menteri.
Anwar berkata selain sambungan sedia ada dengan Singapura dan Thailand, Malaysia turut terlibat dalam Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang membolehkan perdagangan tenaga secara pelbagai hala.
“Kini, kita sedang membuat persediaan untuk sambungan antara Vietnam–Malaysia–Singapura, serta meneruskan usaha di bawah kerangka kerjasama Brunei–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP).
“Kesemua projek ini akan membawa kita lebih hampir kepada Rangkaian Kuasa ASEAN yang benar-benar bersepadu,” jelas beliau.
Di bawah kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, Anwar berkata rantau ini telah mencapai beberapa pencapaian penting dalam sektor tenaga.
“Kita telah meluluskan Fasa Pertama Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) dan menerima pakai Memorandum Persefahaman Dipertingkatkan bagi Rangkaian Kuasa ASEAN.
“Kedua-dua keputusan ini merupakan kemajuan besar dalam integrasi serantau dan peralihan tenaga," kata Perdana Menteri.
Beliau menambah bahawa pelan tindakan baharu itu akan menjadi kompas dasar ASEAN bagi tempoh sepuluh tahun akan datang. - DagangNews.com








