Glomac catat keuntungan bersih hampir tiga kali ganda pada 3QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Glomac catat keuntungan bersih hampir tiga kali ganda pada 3QFY2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Keuntungan bersih Glomac hampir tiga kali ganda pada suku kewangan ketiganya berikutan peningkatan aktiviti pembangunan hartanah

 

Keuntungan bersih bagi tiga bulan yang berakhir 31 Januari 2026 (3QFY2026) meningkat kepada RM5.18 juta daripada RM1.95 juta setahun lalu, menurut makluman syarikat di Bursa Malaysia.

 

Ini merupakan keuntungan suku tahunan tertinggi Glomac sejak 1QFY2025, apabila kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih RM7.28 juta hasil daripada pendapatan RM73.29 juta ketika itu.

 

Pendapatan 3QFY2026 hampir meningkat dua kali ganda kepada RM64.59 juta daripada RM33.7 juta setahun sebelumnya, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah. Pendapatan segmen ini meningkat lebih dua kali ganda kepada RM57.6 juta daripada RM26.3 juta.

 

“Prestasi ini terutamanya didorong oleh hasil projek yang dicatat secara berperingkat secara konsisten apabila aktiviti pembinaan mendapat momentum di beberapa pembangunan utama, termasuk rumah semi-D KEYS dan pejabat kedai di Lakeside Residences, pejabat kedai di Saujana Perdana, serta siri rumah teres Serai di Sungai Buloh Country Resort (SBCR),” kata Glomac dalam satu kenyataan.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ini.

 

Bagi sembilan bulan pertama FY2026, keuntungan bersih Glomac merosot 39.8% kepada RM7.95 juta daripada RM13.2 juta setahun lalu, manakala pendapatan menurun 10.39% kepada RM146.42 juta daripada RM163.4 juta.

 

Jualan belum ditagih kumpulan berjumlah RM637 juta pada akhir Januari, memberikan tahap visibiliti pendapatan yang kukuh.

 

Rancangan Pelancaran Fasa Baharu Bernilai RM256 Juta

Melangkah ke hadapan, Glomac berkata kumpulan itu terus membina momentum dalam portfolio pembangunan, dengan rancangan untuk melancarkan fasa baru bernilai RM256 juta pada suku berikutnya, terutamanya pembangunan kediaman bertanah di dalam bandar yang telah mantap di mana kumpulan ini sentiasa mencatat kadar pengambilan yang sihat.

 

Pelancaran utama termasuk rumah teres dua tingkat di Serai @ SBCR, rumah semi-D baharu di Lakeside Residences dan Saujana Rawang, serta rumah teres di Saujana Jaya, Kulai.

 

Disokong oleh projek-projek pembangunan yang dirancang dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan RM6 bilion, kumpulan berkata ia berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan rangka pembangunan dan menangkap peluang daripada permintaan yang stabil terhadap produk kediaman bertanah. - DagangNews.com