GDB Holdings peroleh dua kontrak pembinaan jalan bernilai RM121.4 juta di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GDB Holdings peroleh dua kontrak pembinaan jalan bernilai RM121.4 juta di Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan – GDB Holdings Berhad memperolehi dua kontrak pembinaan infrastruktur awam di Sarawak bernilai RM121.4 juta, sekali gus menandakan pengembangan strategik syarikat itu ke Malaysia Timur.

 

Dalam satu kenyataan, GDB memaklumkan dua kontrak berasingan itu diperoleh daripada Bina Muhibbah Permajaya Construction Sdn Bhd yang melibatkan dua projek utama di daerah Simunjan, Samarahan dan Bahagian Kuching.

 

Kontrak pertama berjumlah RM54.4 juta melibatkan pembangunan jalan di daerah Simunjan dan Samarahan. Projek ini dijadualkan berlangsung selama 32 bulan, bermula 29 Januari 2026 dan dijangka siap pada 28 September 2028.

 

Kontrak kedua pula bernilai RM67.0 juta dan merangkumi pembinaan jalan satu lorong baharu, kerja tanah, saliran, serta penambahbaikan tanah di Bahagian Kuching dan Samarahan. Projek ini bermula pada 28 Januari 2026 dengan tempoh 17.5 bulan dan dijangka selesai pada 12 Julai 2027.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan GDB Andy Lai Wee Young berkata kontrak-kontrak ini menandakan kejayaan pertama GDB dalam memperluaskan operasi ke Malaysia Timur.

 

“GDB bercadang untuk memanfaatkan rekod prestasi cemerlang syarikat dalam pelaksanaan projek tepat pada masanya untuk mengejar peluang pembangunan lebih luas di rantau ini.

 

“Dengan kemenangan kontrak baharu ini, jumlah buku pesanan GDB meningkat kepada RM669.0 juta, memberi keterlihatan pendapatan kepada syarikat sehingga akhir 2028,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Selain memperluaskan operasi ke Sarawak, GDB terus mengekalkan projek-projek bernilai tinggi di Semenanjung Malaysia, termasuk pembangunan Metrohub 4 di Klang, Logistics Hub Plot B di Shah Alam, dan International Tertiary Hospital di KL Wellness City, Kuala Lumpur.

 

GDB ditubuhkan pada 2013 dan kini mengendalikan empat anak syarikat: Grand Dynamic Builders Sdn Bhd, GDB Infra Sdn Bhd, GDB Development Sdn Bhd dan GDB Geotechnics Sdn Bhd yang dimiliki 70 peratus. - DagangNews.com