KUALA LUMPUR 18 Dis - Gamuda Bhd hari ini mengumumkan kejayaan kumpulan itu meraih dua lagi kontrak di Australia yang mencecah jumlah melebihi RM8 billion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak tersebut membabitkan pembinaan sebahagian sistem rel bawah tanah Sydney Metro West – Stations Package West bernilai AUD2.7 bilion (kira-kira RM7.32 bilion) dan pembinaan Projek Ladang Angin Carmody’s Hill di wilayah mid north, Australia Selatan, bernilai AUD265 juta atau kira-kira RM718 juta.
Bagi kontrak Sydney Metro West, kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat sub-milik penuhnya di Australia, Gamuda Engineering Pty Ltd.
Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Sydney Metro, entiti perolehan bagi Kerajaan New South Wales, Australia, pada 18 Disember 2025.
Projek itu merupakan kontrak reka bentuk dan bina yang melibatkan pembinaan lima stesen metro iaitu Westmead, North Strathfield, Burwood North, Five Dock dan The Bays.
Skop kerja meliputi pembinaan struktur stesen, pintu masuk dan akses, kerja-kerja kemasan dalaman stesen serta infrastruktur berkaitan. Ia turut merangkumi integrasi pengangkutan dan kerja-kerja ruang awam.
Menurut Gamuda, perancangan dan reka bentuk terperinci dijadualkan bermula pada Januari 2026, manakala kerja pembinaan utama dijangka bermula pada akhir 2026 atau awal 2027.
Projek tersebut disasarkan siap sepenuhnya pada Mei 2031.
Dari segi kelestarian, Gamuda menegaskan komitmen untuk melaksanakan pendekatan pembinaan rendah karbon, termasuk penggunaan reka bentuk stesen cekap tenaga, konkrit rendah karbon, keluli kitar semula serta bahan yang diperoleh secara bertanggungjawab.
Inisiatif ini sejajar dengan sasaran pencapaian penarafan Bangunan Green Star berprestasi tinggi bagi semua stesen.
Selain itu, projek berkenaan turut menekankan pencapaian hasil sosial melalui program manfaat komuniti, perolehan sosial dan Orang Asli, serta latihan dan pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Gamuda menambah prestasi kelestarian projek akan dipantau melalui rangka kerja tadbir urus dan pelaporan yang diiktiraf bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Bagi kontrak pembinaan ladang angin di Australia Selatan pula, kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd.
Kontrak tersebut merupakan kontrak Balance of Plant (BoP) dianugerahkan oleh Georgetown Hills Renewable Energy Pty Ltd, selaku pemegang amanah kepada Georgetown Hills Renewable Energy Trust, dan telah dimuktamadkan pada 18 Disember 2025.
Kontrak BoP itu merangkumi tempoh pelaksanaan selama 28 bulan dan dijangka bermula pada awal 2026.
Di bawah skop kerja peringkat tinggi, DT Infrastructure akan melaksanakan kerja-kerja awam termasuk pembinaan asas turbin, jalan akses dalaman, sistem perparitan serta kawalan hakisan, tapak sokongan kren, kawasan simpanan bahan dan kerja tanah berkaitan.
Skop kontrak itu turut melibatkan kerja penggalian parit dan pemasangan laluan kabel bawah tanah, kerja penyediaan tapak serta penyelarasan logistik bagi menyokong penghantaran dan pemasangan turbin ladang angin tersebut.
Gamuda berkata projek itu sejajar dengan komitmen kumpulan terhadap inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan Ladang Angin Carmody’s Hill dijangka menyumbang kepada peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui di Australia Selatan.
Apabila beroperasi, projek tersebut dijangka membantu mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong peralihan nasional daripada penggunaan bahan api fosil, selain memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat melalui pewujudan peluang pekerjaan, peluang perolehan dan peningkatan aktiviti ekonomi serantau.
Kumpulan itu turut memaklumkan amalan pengurusan alam sekitar yang kukuh akan diterapkan sepanjang tempoh pembinaan bagi melindungi tanah, biodiversiti dan sumber air di kawasan projek.
Semalam Gamuda turut mengumumkan syarikat usaha sama 50:50 dengan Samsung C&T Corporation berjaya memperoleh kontrak pembinaan bernilai hampir RM2.7 bilion bagi projek kabel dasar laut Marinus Link, Australia. - DagangNews.com








