KUALA LUMPUR 17 April - Gading Kencana Sdn Bhd, pengeluar dan pemasang tenaga solar tempatan, merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang suku keempat 2027 ketika syarikat itu memperkukuh kedudukan dalam pasaran modal bagi memanfaatkan peluang dalam peralihan tenaga.
Bagaimanapun, Gading Kencana tidak mendedahkan saiz tawaran atau pasaran Bursa Malaysia yang disasarkan untuk penyenaraian tersebut.
Syarikat itu yang membangunkan dan mengendalikan aset tenaga solar berskala besar (LSS) kini mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 123 megawatt (MW) merangkumi projek yang sedang beroperasi dan dalam pembinaan, menurut kenyataan syarikat itu.
Gading Kencana merupakan antara 14 syarikat yang disenarai pendek bagi menyertai program Bumiputera Rapid Acceleration Value Enhancement (BRAVE) oleh SME Corp Malaysia, iaitu inisiatif bagi menyediakan syarikat berpotensi tinggi untuk penyenaraian awam.
"Pemilihan tersebut mencerminkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang “jelas dan berkesan”, kata Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Guntor Tobeng.
Penyertaan dalam program itu memberi akses kepada bank pelaburan, pelabur ekuiti serta pihak berkepentingan lain, sekali gus membantu syarikat menilai kesediaan penyenaraian dan memperkemas strategi IPO, tambahnya.
“Kami telah diberikan pelbagai ilmu dan panduan yang penting dalam membuat keputusan untuk IPO serta menyediakan persiapan yang diperlukan,” kata Guntor.
Beliau memegang 63.45% pegangan langsung dalam syarikat, manakala selebihnya dimiliki oleh isterinya yang juga pengarah, Datin Hasnah Awang.
Portfolio Projek Tenaga Solar Pelbagai Segmen

Portfolio solar syarikat itu termasuk projek 44MW di Bidor, Perak di bawah Program Tenaga Hijau Korporat, fasiliti 34MW di bawah mekanisme New Enhanced Dispatch Arrangement, loji 37MW di bawah kitaran pertama LSS, serta pemasangan 8MW di Ayer Keroh, Melaka (gambar atas) di bawah skim Feed-in Tariff.
Selain aset berskala utiliti, Gading Kencana turut menyediakan pemasangan sistem solar bumbung untuk pelanggan kediaman, komersial dan industri serta menawarkan perjanjian pembelian tenaga pihak ketiga melalui model tanpa kos permulaan (zero-capex).
Syarikat itu berkata ia berhasrat untuk terus memperkukuh peranannya dalam peralihan tenaga Malaysia, kata Guntor.
Program BRAVE yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal melalui sokongan strategi IPO, hubungan pelabur serta pembangunan tadbir urus korporat. - DagangNews.com








