KUALA LUMPUR 3 Okt – G Capital Berhad (GCAP) menerusi anak syarikat milik 51%-nya, G Capital Water Solutions Sdn. Bhd. dilantik sebagai pakar bagi projek Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) Negeri Perlis – Fasa 1.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GCAP memberitahu telah menerima Surat Anugerah (LO) bagi pelantikan itu daripada Senie Associates Sdn. Bhd.
"Sebagai kontraktor utama, Senie telah melantik GCAP Water Solutions sebagai pakar NRW yang dinamakan dengan nilai kontrak berjumlah RM300,000," katanya dalam kenyataan itu.
Menurut GCAP, projek berkenaan dibiayai oleh Kerajaan Malaysia menerusi geran yang disalurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia melalui Jabatan Bekalan Air.
Senie bertindak sebagai jurutera perunding yang dilantik oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi pelaksanaan projek tersebut.
Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun bermula 1 Oktober 2025, dan merangkumi skop kerja seperti ujian pengukuran aliran dan pemodelan kebocoran sertadan hidraulik.
Antara kerja-kerja lain yang termasuk dalam skop tersebu ialah penilaian paip, pengukuran aliran keluar dan penyediaan laporan asas NRW dan laporan NRW selepas penggantian.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan Kumpulan, namun tidak akan memberi kesan material ke atas aset bersih GCAP bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com








