F&N jual keseluruhan 50% ekuiti dalam syarikat usaha sama, selesai jual tanah di PJ bernilai RM180 juta kepada Tan & Tan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

F&N jual keseluruhan 50% ekuiti dalam syarikat usaha sama, selesai jual tanah di PJ bernilai RM180 juta kepada Tan & Tan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Sept - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjual keseluruhan pegangan 50% dalam Vacaron Company Sdn Bhd — syarikat usaha sama yang memiliki tanah seluas 5.15 hektar di Seksyen 13, Petaling Jaya, yang dahulunya merupakan tapak kilang F&N — kepada Tan & Tan Developments Bhd (TTDB) dengan nilai tunai kira-kira RM180.4 juta.

 

F&N berkata langkah itu sejajar dengan strateginya untuk membuka nilai daripada aset hartanah bukan teras memandangkan pembangunan hartanah tidak lagi menjadi sebahagian daripada perniagaan terasnya.

 

Hasil daripada pelupusan itu akan dilaburkan semula ke dalam operasi makanan dan minumannya, termasuk ladang tenusu bersepadu di Gemas, Negeri Sembilan.

 

Penilaian dibuat berdasarkan nilai pasaran semasa tanah tersebut sebanyak RM360 juta, seperti dinilai oleh Henry Butcher Malaysia awal bulan ini.

 

Pelupusan itu dijangka memberikan keuntungan pro forma sebanyak RM83.2 juta kepada F&N serta meningkatkan aset bersih sesaham kepada RM9.98 daripada RM9.75.

 

Urus niaga berkenaan dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2027.

 

Vacaron ditubuhkan pada 2012 sebagai usaha sama 50:50 antara F&N dan Frasers Property Holdings (Malaysia) Pte Ltd (FPH).

 

Selepas penjualan itu, TTDB akan memegang separuh kepentingan dalam Vacaron, manakala FPH mengekalkan baki pegangan.

 

Lembaga pengarah syarikat menyatakan, pelupusan ini diyakini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com