Finas diminta kaji semula Skim Wajib Tayang bagi perkasa industri filem - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Finas diminta kaji semula Skim Wajib Tayang bagi perkasa industri filem - Fahmi

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengkaji semula Skim Wajib Tayang dan mencadangkan penambahbaikan.

 

Beliau berkata, kajian semula ini bertujuan memastikan skim tersebut benar-benar dapat memperkasa industri perfileman.

 

Tindakan ini susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Syahredzan Johan (PH-Bangi) bahawa skim berkenaan boleh dimanipulasi dan mungkin merugikan penerbit bebas.

 

“Skim ini diperkenalkan untuk menjamin peluang tayangan bagi filem-filem tempatan.

 

“Saya telah meminta Finas untuk mengkaji semula skim ini bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan.”

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurutnya, skim ini telah membantu pawagam memperoleh hasil tambahan daripada jualan tiket serta meningkatkan jumlah penonton.

 

Pada tahun 2023, sebanyak 62 filem tempatan diluluskan untuk tayangan di bawah skim ini, yang berjaya menjana kutipan box-office sebanyak RM108 juta.

 

Pada tahun 2024 pula, 62 filem tempatan mencatatkan kutipan kasar box-office berjumlah RM122 juta. - DagangNews.com