KUALA TERENGGANU 28 Jan – Kerajaan Negeri mengesahkan keluasan tanah yang dibangunkan sebagai ladang komersial oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini dianggarkan sekitar 18,000 hektar, meningkat berbanding laporan terdahulu sebanyak 15,000 hektar.
Perubahan angka tersebut adalah hasil ukuran terkini dan dijangka memberi impak positif kepada pendapatan negeri.
Sebaik sahaja perjanjian rasmi ditandatangani, Felda dijangka memulakan proses permohonan tanah pada Mac 2026, sebagai langkah awal untuk memastikan semua urusan pembangunan ladang komersial dijalankan mengikut peraturan kerajaan negeri.
Permohonan tersebut dilakukan melalui Jadual 1, iaitu borang yang wajib diisi oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk memohon tanah milik kerajaan sama ada rakyat biasa atau syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah ladang: Felda, Terengganu capai persetujuan positif - Setiausaha Kerajaan Negeri
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata dengan permohonan Jadual 1, status tanah Ladang Felda kini disahkan masih berstatus tanah kerajaan negeri.
“Ia bermakna, Felda perlu membayar premium tanah dan cukai tanah bagi keluasan 18,000 hektar. Rezeki tambahan untuk negeri dan rakyat Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Permohonan Jadual 1 ini mengesahkan bahawa status tanah Ladang FGV ini adalah masih berstatus tanah kerajaan negeri dan premiumnya belum dijelaskan.
Tambahnya, fakta itu juga menafikan kenyataan dari beberapa pihak sebelum ini termasuk dari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menyatakan bahawa Felda telah melunaskan semua bayaran kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
“Ia juga selari dengan kenyataan dari Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa proses penyelesaian ini akan melibatkan implikasi kewangan di pihak Felda.
“Kalau semuanya sudah dilunaskan maka tentu sekali tidak akan timbul lagi apa-apa implikasi kewangan,” katanya. - DagangNews.com








