KUALA LUMPUR 25 Sept - Permintaan domestik Malaysia dijangka kekal kukuh berikutan langkah terbaharu Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Perkembangan tersebut dilihat mampu merubah landskap kewangan global dan membuka peluang baharu kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Prospek itu diketengahkan dalam sesi webinar anjuran Hong Leong Bank (HLB) di bawah platform libat urus HLB Business Matters. Sesi bertajuk “Unpacking the Fed’s Move: A Post-FOMC Market Analysis” itu diadakan sehari selepas pengumuman Fed, yang memotong kadar faedah buat pertama kali selepas sembilan bulan.
HLB menegaskan, perbelanjaan pengguna dan perniagaan yang berdaya tahan akan terus menjadi pemacu pertumbuhan meskipun berdepan ketidaktentuan luar.
Unjuran rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0% hingga 4.8% kekal boleh dicapai sekiranya tiada kejutan luar jangka.
Dengan kitaran pelonggaran dasar Fed dijangka berterusan, jurang kadar faedah antara AS dan Malaysia dilihat semakin mengecil, sekali gus menyokong kestabilan Ringgit.
BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% bagi memastikan kestabilan monetari serta suasana pembiayaan yang kondusif.
Ringgit yang lebih stabil atau berpotensi mengukuh akan memberi manfaat kepada pengimport melalui pengurangan kos input, sementara pengeksport dan syarikat terlibat dalam perdagangan rentas sempadan boleh memanfaatkan peluang lindung nilai yang lebih baik.

“Ini adalah detik penting untuk PKS,” kata Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan & Korporat HLB, Yow Kuan Tuck.
“Kami komited membantu pelanggan memanfaatkan trend pasaran dan peluang perniagaan dengan menyediakan khidmat nasihat serta penyelesaian kewangan yang disesuaikan.
"Dengan jangkaan kemasukan pelaburan langsung asing, kami bersedia menyokong pelanggan perniagaan melalui khidmat nasihat perdagangan, urus niaga rentas sempadan dan pembiayaan import-eksport.”
Beliau menambah, HLB bukan sekadar penyedia perbankan tradisional, sebaliknya mahu menjadi rakan niaga strategik yang menambah nilai serta memperkukuh kedudukan pelanggan dalam era pertumbuhan baharu. - DagangNews.com








