Fasiliti sejuk beku CCK Consolidated di Indonesia terbakar, operasi dihentikan sementara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasiliti sejuk beku CCK Consolidated di Indonesia terbakar, operasi dihentikan sementara

Kebakaran bangunan milik PT Adil Mart di Cikupa Mas, Kabupaten Tangerang, Banten, pada 28 Mei 2026. (Gambar ihsan Beritasatu.com/Wawan Kurniawan)
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 Mei - Syarikat bersepadu ternakan ayam dan runcit, CCK Consolidated Holdings Bhd memaklumkan satu insiden kebakaran telah berlaku di loji milik unit runcit produk sejuk beku syarikat itu di Indonesia pada Khamis, namun tahap kerosakan masih dalam penilaian.

 

Insiden kebakaran itu berlaku kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan Indonesia) pada Khamis di premis PT Adilmart yang 60% dimiliki CCK di Banten, Indonesia dan menjejaskan sebahagian fasiliti pengeluaran.

 

Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan oleh jabatan bomba tempatan selepas lebih lapan jam, iaitu pada jam 11.30 pagi, menurut syarikat itu.

 

Tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan, kata CCK dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

“Skop kerosakan serta punca kejadian sedang dinilai oleh pihak berkuasa berkaitan dan syarikat insurans,” kata CCK, sambil memaklumkan, kesan kewangan daripada insiden itu tidak dapat dianggarkan secara tepat sehingga penilaian selesai dilakukan.

 

Operasi Dihentikan 

Operasi di fasiliti pengeluaran tersebut telah dihentikan sementara waktu bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, kerja penilaian dan pembersihan.

 

“Syarikat kini sedang menyemak perlindungan insurans serta tuntutan berkaitan insiden ini,” katanya.

 

Adilmart terlibat dalam perniagaan runcit produk stor sejuk beku, menurut laporan tahunan terkini CCK.

 

Pada September 2024, Astrantia Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) kepada dana yang dinasihatkan oleh firma ekuiti swasta Creador Sdn Bhd, melabur sebanyak RM163.1 juta bagi pegangan 40% dalam Adilmart. - DagangNews.com