Farhash saman Rafizi RM10 juta berhubung dua video didakwa memfitnah di media sosial | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farhash saman Rafizi RM10 juta berhubung dua video didakwa memfitnah di media sosial

KUALA LUMPUR 27 Okt – Ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berhubung dua video yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di media sosial.

 

Farhash, yang juga bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan saman itu pada 10 Oktober lalu melalui firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co, selepas Rafizi gagal memohon maaf dan menarik balik dua video terbabit, lapor The Edge.

 

Video pertama dimuat naik pada 25 Julai 2025, manakala video kedua disiarkan pada 20 Ogos 2025. Dalam tuntutannya, Farhash menuntut ganti rugi am RM10 juta selain ganti rugi teruk, teladan, punitif serta kos guaman daripada bekas Timbalan Presiden PKR itu.

 

 

 

 

 

 

Farhash menjelaskan isu berkenaan bermula apabila timbul dakwaan pada Julai lalu kononnya syarikat miliknya, Bumi Suria Sdn Bhd, memperoleh lesen perlombongan arang batu di Sabah. Dakwaan tersebut telah dinafikan oleh beliau dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, dan laporan polis turut dibuat.

 

Beliau juga memfailkan saman terhadap beberapa media yang menyiarkan laporan palsu berhubung isu tersebut. Pada 9 September, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan beliau tidak terlibat dalam sebarang salah laku.

 

Namun, pada 25 Julai, Rafizi menerbitkan video bertajuk “Tangani Isu Farhash Elak Jadi Beban Lebih Besar Pada Kerajaan” di TikTok dan YouTube, yang menurut Farhash merupakan serangan peribadi dan usaha menjadikannya kambing hitam demi kepentingan politik Rafizi.

 

Pada 20 Ogos pula, Rafizi memuat naik video bertajuk “Bukan Ismail Sabri, bukan KJ”, di mana beliau mengaitkan insiden serangan menggunakan picagari terhadap anaknya dengan Farhash, berdasarkan maklumat daripada seorang sumber.

 

Farhash berkata, peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Rafizi pada 22 Ogos bagi menuntut permohonan maaf dan penghapusan video tersebut dalam tempoh 48 jam, namun tiada tindakan diambil.

 

Beliau mendakwa kedua-dua video berkenaan telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasinya sebagai ahli perniagaan dan tokoh korporat.

 

“Pelabur, pemain industri dan rakan kongsi saya hilang keyakinan terhadap saya. Ia turut menjejaskan peluang perniagaan dan pelaburan masa depan saya,” katanya.

 

Farhash, yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Apex Equity Holdings Bhd, serta Pengarah Berjaya Construction Bhd, berkata tuduhan tersebut mengejutkan masyarakat dan memberi kesan besar terhadap kedudukannya dalam dunia korporat.

 

“Saya terpaksa berulang kali menjelaskan perkara sebenar bagi membersihkan nama. Namun, kesan reputasi ini terlalu besar dan menjejaskan maruah saya secara peribadi serta profesional, walaupun saya sudah meninggalkan bidang politik,” ujarnya.

 

Beliau menegaskan tuduhan Rafizi telah menghakis kepercayaan terhadap dirinya, terutama dalam kalangan pelabur dan rakan perniagaan, serta mencetuskan persepsi negatif terhadap syarikat-syarikat tersenarai awam yang dikaitkan dengannya.

 

 

 

 

 

 

Menurut Farhash, kenyataan fitnah tersebut menyebabkan kerosakan berpanjangan terhadap kredibilitinya sebagai pengarah syarikat dan bekas setiausaha politik, dan reputasinya sukar dipulihkan walaupun dengan penjelasan atau penafian terbuka.

 

Pengurusan kes saman Farhash telah dijalankan pada Isnin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K. Vasugi. - DagangNews.com