KUALA LUMPUR 16 Jan – Exsim Hospitality Berhad mengesahkan anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd berjaya meraih tender bernilai RM2.37 juta daripada Exsim Kebun Teh Sdn Bhd.
Kumpulan tersebut menambah, tender baharu berkenaan bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman galeri jualan serta unit pameran projek Kebun Teh Fasa 2 di Plaza Pelangi, Johor.
Kontrak itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama tiga bulan, dengan tempoh liabiliti kecacatan selama 12 bulan dari tarikh siap kerja, manakala tarikh mula kerja ditentukan Exsim Kebun Teh.
"Penerimaan kontrak ini jangka memberi kesan positif kepada hasil sesaham, aset bersih sesaham dan tahap penggearan kumpulan sepanjang tempoh projek," kata Exsim Hospitality kepada Bursa Malaysia.
Transaksi berkenaan jelasnya, diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan berulang dan mendapat mandat pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 27 November 2025.
Lembaga pengarah kumpulan berkenaan turut berpandangan yang perintah kerja tersebut adalah dalam urusan biasa perniagaan dan selaras dengan kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com








