ESG mampu perkukuh kredibiliti ATM kekang skandal rasuah berlapis, kata penganalisis geostrategi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ESG mampu perkukuh kredibiliti ATM kekang skandal rasuah berlapis, kata penganalisis geostrategi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Jan — Pelaksanaan kerangka amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat berupaya menangani kelemahan berlapis organisasi itu. 


Penganalisis geostrategi, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, usaha Kementerian Pertahanan (Mindef) itu dijangka membendung skandal rasuah yang berakar umbi dalam proses perolehan pertahanan negara. 


Langkah kerajaan memberi keutamaan kepada Mindef memakai ESG adalah wajar kerana skala perolehan ATM selama ini memang besar serta rekod kelemahan tadbir urus perlu diperbaiki secara menyeluruh.


“Dalam kes ATM, isu utamanya bukan sekadar soal kewangan tetapi kecacatan tadbir urus yang sistemik, dari peringkat atasan hingga bawahan, termasuk sistem perolehan,” katanya kepada DagangNews.com.


Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berhubung Mindef diberi keutamaan oleh kerajaan melaksanakan ESG.


Ia susulan penegasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa kementerian itu sedang bergerak ke arah memperkukuh tadbir urus dan ketelusan, termasuk dalam aspek perolehan.


Usaha itu dilihat signifikan susulan banyak isu melibatkan ATM mendapat perhatian awam akhir-akhir ini termasuk berkaitan kebajikan anggota, proses perolehan tender dan pengurusan dalaman pasukan.

 

Artikel berkaitan: Kementerian Pertahanan diberi keutamaan guna pakai kerangka ESG - Fahmi
 

Azmi Hassan
AZMI HASSAN

 

Mengulas lanjut, Azmi merujuk sistem penilaian perolehan sebelum ini lebih fokus kepada matriks kewangan, walhal ESG yang lazim dalam dunia korporat menawarkan pendekatan secara menyeluruh.


"Penerapan amalan ini memberi penekanan lebih kepada integriti aspek tadbir urus dan impak sosial, disokong dengan usaha pendigitalan prosedur perolehan seperti yang dimaklumkan kerajaan," katanya. 


Sehubungan itu, beliau optimis pelaksanaan ESG mampu meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tanggungjawab, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan terhadap banyak kontrak sensitif ATM.


Selain itu, beliau berharap pelaksanaan ESG tidak sekadar bersifat kosmetik, sebaliknya dilakukan secara konsisten, menyeluruh dan berintegriti, termasuk penguatkuasaan yang tegas di semua peringkat.


“Jika ESG dilaksanakan serius, ia bukan sahaja mampu memulihkan keyakinan awam terhadap imej ATM, malah perbaiki tadbir urus pertahanan negara selari prinsip kecekapan sektor swasta," tegas Azmi.


Pada masa sama, tindakan Mindef memperkukuh tadbir urus ATM melalui ESG dilihat signifikan susulan beberapa isu yang mendapat perhatian rakyat kebelakangan ini, terutama rasuah projek tertentu.


Kes yang berprofil tinggi melibatkan ramai pegawai kanan ATM itu turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 7 Oktober 2025 dengan menyaksikan penangkapan sejumlah individu.


Mereka didakwa atas tuduhan kesalahan menerima rasuah berkaitan skandal tender perolehan pembekalan kerajaan dan penyalahgunaan dana kebajikan anggota untuk kepentingan peribadi.  - DagangNews.com