KUALA LUMPUR 16 Jan – ES Sunlogy Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Savelite Engineering Sdn. Bhd subkontrak bernilai RM22.3 juta daripada Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja elektrik dan sistem voltan rendah tambahan (ELV) untuk projek pembangunan di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ES Sunlogy berkata LOA bertarikh 11 Disember 2025 itu diterima pada 15 Januari 2026 bagi projek milik Pixel Valley Sdn. Bhd. yang terletak di Lot PT 6025 (Lot Lama Plot 24), Persiaran Cassia Barat 3, Mukim 13, Seberang Perai Selatan.
“Skop kerja melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan perkhidmatan elektrik dan ELV bagi pembangunan strata yang merangkumi dua blok pangsapuri perkhidmatan bertingkat tinggi dengan jumlah keseluruhan 1,406 unit, kemudahan rekreasi, ruang tempat letak kenderaan bertingkat, selain unit kedai dan pejabat.
“Tempoh pelaksanaan subkontrak itu akan bermula pada 2 Mac 2026 dan dijangka siap pada 30 Ogos 2029, tertakluk kepada sebarang lanjutan masa yang diluluskan mengikut terma LOA,” katanya dalam makluman tersebut.
ES Sunlogy menjangkakan penerimaan LOA tersebut akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan, aset bersih sesaham dan keuntungan sesaham kumpulan sepanjang tempoh projek, tanpa memberi kesan kepada modal saham serta pegangan saham utama syarikat.
Lembaga pengarah turut menyatakan bahawa tiada risiko luar biasa dijangka timbul daripada projek berkenaan selain risiko operasi biasa, dan penerimaan subkontrak itu adalah selaras dengan perniagaan teras serta kepentingan terbaik syarikat.
Ini merupakan kontrak utama kedua yang diperoleh ES Sunlogy pada Januari, selepas subkontrak bernilai RM15.22 juta yang diumumkan awal bulan ini bagi kerja-kerja elektrikal untuk projek apartmen servis bertingkat tinggi di Johor. - DagangNews.com








